JPN perjelas dua kaedah pertukaran alamat
Putrajaya: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memperincikan kewujudan dua kaedah bagi merekod alamat terkini pemilik kad pengenalan sama ada ia dicetak pada permukaan kad atau mengemas kini maklumat berkenaan dalam cip sedia ada.
Dalam satu kenyataan semalam, JPN berkata, perincian itu turut termaktub dalam Peraturan 15(2), Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Cetakan alamat terkini pada kad pengenalan memerlukan gantian kad baharu dengan kadar bayaran RM10, manakala kadar bayaran mengemas kini rekod cip pada kad sedia ada tanpa gantian kad baharu pula sebanyak RM2.
“Selaras dengan dengan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa, pertukaran alamat kediaman pada kad pengenalan itu perlu direkodkan oleh JPN berdasarkan kepada permohonan pemilik.
“JPN ingin menjelaskan kekeliruan sesetengah pihak berhubung isu pertukaran rekod alamat kediaman pada kad pengenalan yang tular di media sosial, baru baru ini,” katanya.
Dalam pada itu, JPN turut menasihatkan orang ramai supaya menghubungi pejabat JPN bagi mendapatkan sebarang maklumat dan penjelasan lanjut berkaitan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila berlaku kekecohan di Pusat Penamaan Calon di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Bentong apabila calon pembangkang PKR mempersoalkan status kad pengenalan calon Barisan Nasional DUN Ketari, Datuk Lau Hoi Keong yang didakwa tidak beralamat di Pahang.