ALMARI UNTUK MENANGIS
Universiti sedia kemudahan bantu pelajar lepas tekanan
Pelajar di Universiti Utah yang mengalami tekanan perasaan tidak lagi perlu bimbang dipandang sinis rakan apabila pihak universiti menyediakan ‘almari menangis’ yang membolehkan mereka menangis secara tertutup.
Menurut Oddity Central, universiti itu mahu membantu pelajar menangani emosi dengan mewujudkan bilik kecil untuk menangis di perpustakaan kampus berkenaan supaya sesiapa saja boleh menangis dengan selesa.
Dengan peningkatan tugasan dan peperiksaan yang sukar, ditambah pula masalah hutang dihadapi pelajar hari ini, kadang-kala apa yang mereka inginkan hanyalah menangis bagi melepaskan beban sebelum mencari kekuatan untuk bangkit semula.
Seorang pelajar, Nemo Miller bersama dua rakannya dan kerjasama dengan universiti mencipta bilik berkenaan untuk satu tugasan mereka.
Bilik kecil itu menggunakan kain hitam sebagai latar belakang, selain menyediakan patung lembut supaya pengguna boleh memeluk dan memicitnya sambil menangis.
Terdapat beberapa peraturan perlu diikuti sekiranya mahu menggunakan bilik berkenaan seperti mengetuk pintu sebelum masuk, seorang pengguna dalam satu masa, tidak lebih dari 10 minit di dalamnya dan tutup lampu sebelum keluar.
Projek itu mendapat pelbagai reaksi apabila gambar ‘almari’ berkenaan tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ada pengguna memandang sinis usaha berkenaan tetapi ramai juga yang menyukai dan memuji idea itu, selain berharap universiti lain turut mewujudkan kemudahan sama.
Bilik itu akan kekal berada di perpustakaan berkenaan sehingga peperiksaan akhir tamat pada 2 Mei depan, lapor USA Today memetik jurucakap universiti terbabit.