Penuh kejutan
Dr Mahathir tewaskan penyandang kerusi Parlimen Langkawi
Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke Parlimen selepas menewaskan penyandang kerusi Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad dalam saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ia berdasarkan keputusan tidak rasmi sehingga jam 11 malam tadi.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas kali terakhir bertanding pada PRU 1999 di Parlimen Kubang Pasu.
Anak beliau, Datuk Seri Mukhriz yang juga Timbalan Presiden PPBM turut kembali menguasai kerusi Parlimen Jerlun, selain menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra.
Selain mengekalkan Parlimen Pagoh yang disandang sejak lima penggal lalu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menguasai DUN Gambir.
Muka baru, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat kejutan menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar yang juga Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.
Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail yang berpindah kerusi Parlimen dari Permatang Pauh ke Pandan turut menewaskan pencabar dalam saingan lima penjuru.
Sebelum ini, Dr Wan Azizah menyandang kerusi
Permatang
Pauh selama empat penggal sejak
PRU 1999.
Anaknya
Nurul Izzah pula memenangi kerusi Permatang Pauh dalam saingan tiga penjuru.
Timbalannya, Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali pula berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa yang masing-masing dimenangi sejak PRU12.
DAP menerusi Ketua Parlimennya, Lim Kit Siang turut mengekalkan penguasaan di kerusi Iskandar Puteri yang sebelum ini dikenali sebagai Gelang Patah untuk penggal kedua.
Anak beliau, Lim
Guan Eng juga mempertahankan kerusi Parlimen Bagan dan DUN Air Putih.
Pemimpin utama Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu juga membuat kejutan memenangi kerusi Parlimen Kota
Raja dalam
cubaan pertamanya selepas tidak bertanding pada PRU13.
Timbalannya, Salahuddin Ayub kembali menguasai Parlimen Pulai selepas tewas pada PRU13. Beliau turut memenangi kerusi DUN Simpang Jeram.
Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Marang untuk penggal ketujuh, manakala anaknya, Muhammad Khalil yang juga Ketua Dewan
Pemuda PAS memenangi kerusi DUN Batu Burok untuk penggal pertama.
Timbalan Abdul Hadi, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpindah kerusi dari DUN Jengka ke Parlimen Kubang Kerian turut memenangi kerusi itu.
Parti Warisan Sabah (Warisan) pula menerusi Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengekalkan kerusi Parlimen Semporna untuk penggal keenam selain menawan DUN Senallang.