Harian Metro

Wooi Haw TAUKE JAM

- Rodly Fadly sukanteam@nstp.com.my

Tidak lengkap menceritak­an era emas bola sepak Pulau

Pinang pada awal 1980an tanpa mengaitkan nama Datuk Chen Wooi Haw, salah seorang pemain yang membawa pasukan itu menjulang Liga Divisyen Satu pada 1982.

Bersama pemain seperti Ahmad Yusof, Hasamuddin Hassan dan Johari Maina, Wooi Haw bukan sekadar menjadi tulang belakang pasukan Pulau Pinang malah turut mengisi posisi sebagai penyerang utama skuad kebangsaan pada ketika Allahyarha­m Datuk Mokhtar Dahari sudah menghampir­i penghujung kariernya.

Bagi Wooi Haw sendiri, itulah kemuncak kepada kariernya yang menjadi kenangan terindah sehingga sekarang selepas lebih 30 tahun bersara.

”Walaupun agak lama mewakili Pulau Pinang namun nama saya hanya melonjak apabila pasukan itu yang dilatih oleh Datuk Shukor (Salleh) menjadi juara pertama Liga Divisyen Satu pada 1982.

”Ia juga membuka laluan kepada saya untuk berhijrah ke Kuala Lumpur selepas mendapat tawaran daripada kelab Cheq Point yang ketika itu mengumpulk­an ramai pemain terkemuka seperti Hassan Sani, Hashim Marman dan beberapa pemain lagi.”

Menurut Wooi Haw dia mengambil keputusan meninggalk­an Pulau Pinang untuk mencari kehidupan yang lebih selesa di ibu kota.

”Bayangkan, pada masa itu, gaji saya sebagai kaki tangan

LLN (Lembaga Lektrik Negara) hanya RM250 sebulan. Saya berharap selepas membantu Pulau Pinang menjuarai liga pada 1982, persatuan akan membantu saya mendapat pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan lebih tinggi.

”Tapi, ternyata FAP (Persatuan Bolasepak Pulau Pinang) tidak dapat membantu, jadi bila Cheq Point menawarkan saya gaji RM1000 sebulan, saya tidak berfikir panjang untuk membuat keputusan.

”Pada ketika itu jugalah saya mendapat peluang menyarung jersi pasukan kebangsaan dan sempat berganding dengan Mokhtar Dahari dalam beberapa perlawanan.

”Saya bersara pada 1986 pada usia 28 tahun. Pada masa itu umur sedemikian sudah dianggap tua untuk sesebuah pasukan kerana ramai penyerang muda yang berkualiti muncul.

”Jadi, jangka hayat saya berada di puncak tidak lama serta tidak banyak kejayaan dapat saya tunjukkan selepas bersara. Malah, saya yakin ramai peminat bola sepak generasi sekarang tidak mengenali saya,” kata Wooi Haw.

Memang benar, nama pemain yang memiliki susuk tubuh yang tinggi dan tegap ini mungkin tidak segah legenda lain seperti Mokhtar, Datuk Soh Chin Aun, Zainal Abidin Hassan atau Dollah Salleh apatah lagi apabila beliau memilih kehidupan yang ‘low profile’ selepas persaraann­ya.

Menurut Wooi Haw selepas bersara, beliau sekadar aktif mewakili pasukan syarikat kewangan yang disertainy­a beraksi dalam liga tempatan.

Kemudian, beliau berjinakji­nak dalam perniagaan jam yang bermula secara kecil-kecilan sehingga mampu menjadi pemborong.

Kesibukan sebagai ahli perniagaan menyebabka­n beliau kian hilang dari radar bola sepak Malaysia apatah lagi apabila perniagaan­nya semakin maju sehingga beliau dianugerah­kan dengan bintang kebesaran yang membawa gelaran Datuk.

Wooi Haw kini menetap di Kuala Lumpur bersama isteri, Datin Sherry Liew dan dua anak mereka, Chen Huan Yung, 23 dan Chen Lok Ching, 22.

Pada usia 60 tahun sekarang, beliau mengambil pendekatan untuk berehat dengan mengisi masa bertemu rakan-rakan lama, bermain golf dan beraksi untuk pasukan bola sepak veteran bagi perlawanan persahabat­an dan amal.

”Saya menikmati kejayaan dalam bola sepak walaupun tidak banyak. Saya juga pernah berjaya sebagai ahli perniagaan. Sekarang adalah waktu untuk berehat serta mengisi masa bersama keluarga dan kawan-kawan,” kata Wooi Haw.

 ??  ?? SESEKALI
mengisi masa dengan bermain golf.
SESEKALI mengisi masa dengan bermain golf.
 ??  ??
 ??  ?? WOOI HAW bersama isteri dan dua anaknya.
WOOI HAW bersama isteri dan dua anaknya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia