Harian Metro

‘Ramadan tak jejas kemeriahan liga’

- Aziman Rosdi aziman@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Jurulatih Terengggan­u FC, Irfan Bakti Abu Salim percaya saingan Liga Super tetap rancak meskipun setiap pasukan akan mengharung­i lima perlawanan sepanjang Ramadan bermula 22 Mei hingga 10 Jun ini.

Katanya, ini bukan pertama kali pemain terpaksa bermain lewat dengan sepak mula jam 10 malam dan sokongan penyokong juga tidak terjejas andai setiap pasukan mempamerka­n aksi berkualiti.

“Saya rasa tak ada masalah dengan prestasi pemain, kita akan mulakan latihan pada sebelah malam dan semua pemain juga diingatkan supaya menjaga pemakanan. Mungkin akan ada kesan sedikit (kehadiran penyokong), tapi saya percaya penyokong akan tetap datang ke stadium juga jika pasukan mempamerka­n permainan menarik.

“Pemain juga ada pengalaman bermain di bulan puasa, dua tahun lalu liga tetap berjalan ketika Ramadan, jadi pada saya tak ada masalah. Cuma saya harapkan pemain terus konsisten untuk mengejar pendahulu JDT (Johor Darul Ta’zim),” katanya.

Kali ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada Ramadan untuk mengelak jadual padat serta dapat berakhir lebih awal memandangk­an skuad kebangsaan mempunyai tugasan antarabang­sa di Piala AFF November depan.

Sementara itu, pengendali FELDA United, B Sathianath­an berkata, pemain hanya perlu mengatasi halangan mental untuk beraksi pada sebelah malam selepas berbuka puasa.

“Tak ada masalah sebenarnya bermain di bulan puasa, kalau kita lihat liga bola sepak di negara Arab tetap berjalan dan meriah. Cuma jurulatih kena pandai menguruska­n latihan bagi mengekalka­n kecergasan pemain.

“Pada saya ia hanya psikologi pemain kita yang fikir tak boleh aktif pada bulan puasa. Pemain hanya akan berlatih pada jam 10 malam hingga 12 tengah malam, selepas itu mereka boleh bersahur awal dan pada sebelah siang hanya berehat.

“Pada saya tak akan ada kesan kepada kualiti permainan. Kalau kita nak tetapkan tempoh permainan satu musim yang tetap dan tidak berubah, kita kena bermain pada bulan puasa seperti di negara Arab. Jika tidak tempoh musim liga kita tidak akan tepat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia