Harian Metro

‘Kami tidak akan terima’

- Bernama

 Dr Mahathir tegas anggota parti kalah tidak diterima jadi ahli PH

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata Pakatan Harapan (PH) tidak akan menerima anggota daripada parti yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi PH itu berkata ramai ahli politik daripada kerajaan sebelum ini berminat untuk menyertai PH.

“Kita dapati rakyat tidak boleh terima mereka. Sebab itu, mereka tidak harus diterima untuk menjadi ahli.

“Mereka boleh mengisytih­arkan keluar parti umpama UMNO dan menyatakan sokongan kepada kerajaan tetapi (mereka) tidak boleh menjadi ahli dalam parti kerajaan (PH),” katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, rakyat tidak mahu ahli politik kerajaan lama mempengaru­hi kerajaan baharu.

“Rakyat tidak pandang baik terhadap ahli politik daripada kerajaan sebelum ini untuk menyertai PH kerana tidak mahu kerajaan baharu ini nampak seperti kerajaan lama. Oleh itu, penyertaan mereka tidak boleh diterima,” katanya.

Semalam, Ketua Penerangan PPBM Pusat, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata parti itu menerima permohonan kemasukan baru setiap hari termasuk pemimpin dan anggota UMNO dari seluruh daerah di Kelantan.

Namun begitu, Kamaruddin berkata, semua permohonan baru bagi menyertai PPBM akan dibawa ke mesyuarat Anggota Majlis Tertinggi parti itu.

 ??  ?? DR Mahathir pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, semalam.
DR Mahathir pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia