Harian Metro

Janushaa dalam kelas tersendiri

- Roselan Ab Malek cnews@ nstp.com.my

 Penuntut UPNM cipta sejarah terpilih ke Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat

Bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Clifford di sini, B Janushaa mencipta sejarah negara apabila menjadi pelajar perempuan pertama Malaysia dipilih ke Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat di Annapolis, Maryland.

Janushaa, 19, penuntut Asasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan menjalani program ijazah selama empat tahun di akademi tentera berprestij di Amerika Syarikat untuk menjadi pegawai tentera profesiona­l bersama pegawai kadet dari seluruh dunia.

Anak kepada pasangan M Bala Krishan, 59, dan S Saraswathy, 59, itu diterima masuk selaku kadet tentera ke akademi berkenaan selepas menjalani sesi temu duga serta saringan ketat dan akan melaporkan diri bulan hadapan.

Janushaa menerima surat tawaran memasuki akademi ketenteraa­n berkenaan yang disampaika­n Duta Besar Amerika Syarikat, Kamala Shirin Lakhdhir dalam satu majlis di Dewan SK Clifford di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pembanguna­n Sumber Manusia Ibu Pejabat Tentera Laut Diraja Malaysia, Kapten Azhar Adam dan Guru Besar SK Clifford, Zainal Abidin Ismail.

Janushaa berkata, pencapaian itu berkat dorongan keluarga, guru, rakan serta saudara-mara hingga membolehka­n beliau mampu mencapai cita-cita melanjutka­n pelajaran ke akademi tentera itu.

“Saya harap satu hari nanti dapat menjadi seorang juruterban­g profesiona­l, sekali gus ingin buktikan jantina bukan halangan mencapai cita-cita.

“Harapan saya juga supaya kejayaan ini menjadi pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk turut berjaya,” katanya.

Sementara itu, Kamala Shirin berkata, akademi tentera berkenaan menerima permohonan daripada 157 negara dan hanya 15 pelajar asing yang diterima masuk ke empat akademi yang ada di sana.

“Ini prosedur biasa untuk mendapatka­n tempat ke dalam akademi dan wanita muda ini (Janushaa) bertuah terpilih,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar, SK Clifford, Zainal Abidin Ismail berkata, pencapaian Janushaa yang berjaya mendapat tempat di Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat itu adalah satu kebanggaan buat warga SK Clifford.

“Janushaa adalah pelajar yang aktif dan sering terbabit dalam aktiviti kokurikulu­m. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang rajin serta sering membantu guru.

“Janushaa boleh diangkat sebagai model kepada pelajar lain untuk terus berjaya, sekali gus mencapai cita-cita yang diimpikan,” katanya.

 ??  ?? JANUSHAA (tiga dari kiri) bergambar bersama guru selepas menerima surat tawaran.
JANUSHAA (tiga dari kiri) bergambar bersama guru selepas menerima surat tawaran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia