Harian Metro

Bayangan selepas solat hajat

- Nor Azura Abdul Jalil zura_jalil@nstp.com.my

 Pengamal perubatan Islam beritahu mangsa terbabit curi komputer riba

Gerak hati dan bayangan yang diperoleh melalui solat hajat dan istikharah menjadi petunjuk buat seorang pengamal perubatan Islam untuk menyatakan nama penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain sebagai individu yang didakwa terbabit dalam kes kecurian komputer riba di universiti itu.

Saksi pendakwaan ke-13, Abdullah Md Seh, 56, berkata, ia susulan seorang rakan anaknya yang sama-sama menuntut di UPNM menghubung­inya untuk mendapatka­n pandangan mengenai satu kes kecurian komputer riba.

“Pemanggil itu beri saya senarai nama orang yang disyaki mencuri lalu saya salin satu persatu di atas sekeping kertas. Saya buat sembahyang hajat dan istikharah. Saya juga gunakan barang dan mendapat bayangan nama Zulfarhan.

“Oleh kerana saya tidak tahu nombor telefon pemanggil itu, saya beritahu perkara berkenaan kepada anak saya. Bagaimanap­un, saya beritahu saya tiada bukti dan menasihatk­an mereka menyelesai­kannya secara baik serta tidak bertindak di luar batasan,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah pada perbicaraa­n kes membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman. Menurut Abdullah yang juga bapa kepada Muhamad Ashraf, 22, iaitu tertuduh yang didakwa mencederak­an Zulfarhan Osman, dia turut menasihatk­an anaknya dan rakan bersama-sama melakukan solat hajat bagi mendapatka­n jawapan terhadap kecurian yang dihadapi.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-14, Sarjan Mohd Tarmizi Saad, 39, yang bertugas di Pusat Perubatan UPNM memberitah­u mahkamah, dia menjumpai satu nota tulisan tangan di pintu pagar pusat perubatan berkenaan yang memberi gambaran terdapat seorang pelajar memerlukan bantuan di sebuah blok kediaman.

Mohd Tarmizi berkata, nota itu berbunyi “Kalau ada hati perasaan, ada sifat perikemanu­siaan, saya mintak sangat-sangat pergi bilik 4-10 blok satria (depan masjid). Dalam tu ada pesakit yang sangat-sangat perlukan rawatan segera. SEGERA!!! - hamba Allah-.”

Dia kemudian menyerahka­n nota berkenaan kepada jurulatih bertugas pada hari itu.

Dalam kes itu, enam penuntut iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di Bilik 04-10, Blok Penginapan Asrama Jebat, UPNM, di antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka yang berusia 22 tahun itu mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka bersama-sama 13 penuntut lain turut didakwa menyebabka­n cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatka­n pengakuan mencuri komputer riba.

Dakwaan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Perbicaraa­n di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 4 dan 5 Jun ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia