Harian Metro

Intai peluang

 Jonathan harap KOM beri ‘lampu hijau’ buatnya beraksi di Sukan Asia

- Aida Adilah Mat aida_adilah@nstp.com.my

Pelari pecut negara Jonathan Nyepa berharap Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberinya peluang beraksi di Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos depan selepas melakar keputusan cemerlang pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, minggu lalu.

Biarpun masih belum ada sebarang keputusan muktamad berhubung pemilihan atlet ke temasya itu, pelari berusia 22 tahun dari Sarawak itu tidak menyembuny­ikan harapannya untuk beraksi dalam acara individu.

Katanya, dia sudah melakukan aksi yang terbaik dalam kejohanan yang berlangsun­g di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu apabila berjaya mencatat masa peribadi terbaik selain menewaskan Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan dalam acara 100 dan 200 meter (m).

“Belum ada maklumat berhubung penyertaan ke Sukan Asia. Jika boleh saya memang mahu berlari tapi buat ketika ini saya tidak boleh letakkan sasaran, sebaliknya hanya menunggu maklum balas daripada KOM,” katanya hari ini.

Mengulas mengenai kejayaan menewaskan Khairul Hafiz, pemenang pingat perak Sukan Malaysia Sarawak itu berkata, dia tidak menjangka ia akan berlaku di Terbuka Malaysia.

“Memang saya harap dapat tewaskan Khairul Hafiz satu hari nanti. Tapi tak jangka pula berlaku di Terbuka Malaysia.

“Lagipun, keadaan fizikal saya ketika itu tidak berada di tahap terbaik kerana kepenatan selain perlumbaan yang terpaksa ditunda lebih dua jam dari jadual.

“Masa itu saya hanya fikir untuk buat masa terbaik peribadi. Tak fikir sangat pingat atau apa-apa,” katanya yang perlu melepasi masa 10.26 saat (s) jika ingin melayakkan diri beraksi secara merit ke Sukan Asia dalam acara 100m.

Pada Terbuka Malaysia, Jonathan mencipta kejutan apabila mengunggul­i saingan 200m dengan catatan 21.10s dan catatan terbaiknya sebelum ini ialah 21.18s.

Dalam acara 100m pula, Jonathan berjaya meraih perak dengan kepantasan 10.40s, ketinggala­n di belakang atlet Sri Lanka, Vinoj Suranjaya De Silva yang memenangi emas dengan catatan 10.27s.

 ??  ?? JONATHAN (kiri) mahu wakili Malaysia ke Sukan Asia
JONATHAN (kiri) mahu wakili Malaysia ke Sukan Asia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia