Harian Metro

Cheh Chang persiap skuad Kejohanan Dunia

- Ferzalfie Fauzi ferzalfie@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang mempunyai tugas penting dalam mempersiap­kan anak buahnya sebaik mungkin untuk menghadapi Kejohanan Dunia yang berlangsun­g 30 Julai hingga 5 Ogos depan di Nanjing, China.

Menurutnya, bulan ini memang tidak banyak kejohanan dan mereka hanya perlu menanti sehingga Ogos untuk saingan Terbuka Malaysia serta Indonesia.

“Disebabkan tidak banyak kejohanan saya rasa ini adalah tempoh terbaik untuk kita fokus kepada persediaan Kejohanan Dunia dan Sukan Asia. Ini adalah satu peluang untuk memperbaik­i kelemahan, jadi bagi tempoh sepanjang bulan ini persediaan kita adalah kepada dua kejohanan besar berkenaan,” katanya ketika ditemui semalam.

Jelasnya, tumpuan sekarang ini adalah terhadap memperbaik­i kelemahan individu berikutan saingan beregu campuran sejak kebelakang­an ini sukar untuk bersaing terutama membabitka­n gandingan dari China, Korea Selatan dan Jepun.

“Kita dapat lihat sendiri pemain wanita menjadi lebih kuat, kemampuan mereka untuk menyerap tekanan juga lebih baik daripada lelaki. Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah pemain wanita kita memerlukan kemampuan lebih ampuh.

“Bagi pemain lelaki pula saya mahu mementingk­an keupayaan tahan lama mereka di dalam gelanggang. Mereka harus sentiasa fokus terutama membabitka­n rali panjang. Jika tidak ada persediaan yang seperti ini, sukar buat mereka untuk meraih kejayaan,” kata Cheh Chang.

Ujarnya, apa yang dilakukan sudah terbukti memberi impak positif apabila mereka memerlukan dua hingga tiba bulan untuk mempersiap­kan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sebelum Sukan Olimpik Rio 2016.

“Jadi, saya akan mengadakan perbincang­an dengan jurulatih lain untuk meningkatk­an prestasi pemain beregu campuran kita. Saya tidak bimbang mengenai pemain yang mempunyai pengalaman seperti Peng Soon-Liu Ying.

“Kita akan memberi tumpuan yang lebih kepada gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing kerana mereka seakan ada halangan untuk melonjak ke peringkat lebih tinggi. Kita

harus mencari cara terbaik untuk memahami masalah mereka.

“Buat masa sekarang kita masih lagi ada masa yang cukup untuk melatih memperkuat­kan keupayaan individu masing-masing. Selepas itu baru tahap keyakinan mereka akan melonjak lebih tinggi,” katanya.

Berdasarka­n ranking dunia, Soon Huat-Shevon menduduki tangga kesembilan dunia, diikuti Kian Meng-Pei Jing ke-11, manakala Peng Soon-Liu Ying yang kembali digandingk­an awal tahun ini menghuni tempat ke-46.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia