Harian Metro

Ismail gembira anak buah jadi rebutan

- Malik Muhamad sukanteam@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Biarpun masih belum memutuskan pasukan mana yang bakal dilatih, bekas jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria melahirkan nada gembira apabila sebahagian besar bekas anak didiknya kini sudah menjadi milik pasukan lain.

Lebih menggembir­akan jurulatih itu apabila ada beberapa pemain muda berbakat yang pernah menyarung jersi Kuantan FA, menjadi rebutan beberapa pasukan yang mahukan khidmat mereka.

“Setakat hari ini (semalam) hampir 85 peratus bekas pemain skuad The Seagulls sudah mendapat tempat dengan pasukan lain, ini adalah perkembang­an yang baik dan positif buat pemain itu sendiri yang bijak meneruskan karier mereka.

“Hal ini kerana sebahagian besar pemain muda yang berada dalam pasukan Kuantan FA adalah mereka berbakat besar dan bagi saya amat rugi jika mereka tidak diberi peluang untuk beraksi dengan pasukan lain.

“Saya menjangkak­an sebelum tarikh akhir jendela kedua perpindaha­n pemain pada awal Jun depan, semua pemain akan mendapat tempat dengan pasukan lain,” kata Ismail.

Beliau berkata, selain itu beberapa pemain senior juga sudah mengikat kontrak dengan beberapa pasukan seperti Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahya memilih untuk bersama kelab MOF FC.

Selain itu Ismail berkata, bekas pemain kebangsaan, Mohd Helmi Rameli, Daudsu Jamaluddin dan Zairul Fitree Ishak menyarung jersi pasukan kelab D`AR Wanderers FC dari Temerloh Pahang manakala Abd Ghani Rahman menjadi jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

“Bagaimanap­un nasib empat pemain import iaitu Murilo De Almeida (Brazil), Zarko Korac (Montenegro), Andre Francisco (Brazil) dan Elexandru Tudose dari Romania masih belum diketahui statusnya sama ada sudah diikat pasukan lain atau sebaliknya,” ujar Ismail.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia