Harian Metro

DARI HOKI KE BOLA SEPAK

- Rodly Fadly sukanteam@nstp.com.my

Nor Azam Azih tidak menduga kariernya akan sampai ke peringkat sekarang. Ia kerana anak peneroka kelahiran Jengka 21, Pahang itu tidak pernah bercita-cita menjadi pemain bola sepak profesiona­l, jauh sekali sehingga menyarung jersi pasukan negara.

Apatah lagi, semasa di bangku sekolah rendah, bakat Azam lebih terserlah dalam sukan hoki sehingga terpilih mewakili Pahang pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Malah, dia pernah bercita-cita untuk mewakili pasukan hoki negara.

Begitu pun segala-galanya berubah apabila anak kelima daripada enam adik-beradik ini memasuki sekolah sukan, Sekolah Menengah Seberang, Temerloh mulai Tingkatan Satu pada 2008 apabila seorang guru di sekolah itu menyaranka­n Azam agar beralih kepada bola sepak.

“Sebenarnya saya lebih suka bermain hoki berbanding bola sepak. Selalunya, saya hanya bermain bola sepak untuk mengisi masa lapang bersama kawan-kawan selepas selesai menjalani latihan hoki.

“Malah, kejayaan saya menempatka­n diri di sekolah sukan itu atas ‘tiket’ hoki. Ketika itu saya bercita- cita menjadi pemain hoki kebangsaan seperti pemain kelahiran Pahang, Ismail Abu.

“Tapi, ketika di Tingkatan Dua, Cikgu Adnan yang merupakan jurulatih pasukan bola sepak di sekolah itu mengesan bakat saya dalam sukan berkenaan dan meminta saya meninggalk­an hoki serta memberi tumpuan kepada bola sepak.

“Sejak itulah saya aktif dalam bola sepak dengan mewakili sekolah di pelbagai peringkat pertanding­an sementara hoki pula menjadi sukan sampingan saya,” cerita Azam.

Begitu pun menurut Azam, pada peringkat itu, dia belum yakin mampu pergi jauh dalam bola sepak sebaliknya masih menganggap bola sepak hanya mengisi minat dan masa lapang.

“Apabila tamat Tingkatan 5, saya pulang ke kampung. Sambil menunggu keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya mengisi masa dengan membantu ayah di ladang atau memancing.

“Suatu hari, ketika sedang memancing, rakan saya, Ilham Yusof (kini mewakili PDRM FC) mengajak saya ke Kuantan untuk menyertai skuad Piala Presiden Pahang.

“Saya sangka untuk ujian pemilihan tapi apabila sampai di sana, jurulatih pasukan itu, Azaruddin Aziz terus menyenarai­kan nama saya,” katanya.

Kecemerlan­gan Azam sepanjang semusim bersama skuad Piala Presiden Pahang itu membuka pula pintu untuk dia menyertai pasukan Harimau Muda B pada 2014.

Apabila skuad pelapis negara itu dibubarkan pada 2015, Azam kembali ke pangkuan skuad Pahang dan terus melakar peningkata­n sehingga,menjadi taruhan utama Datuk Ong Kim Swee untuk menjana jentera tengah skuad Bawah 23 Tahun negara ke Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dan Piala AFC B-23 di China.

Bagi Azam, kejayaan membantu skuad negara memenangi pingat perak Sukan SEA dan layak ke suku,akhir Piala AFC B-23 adalah permulaan kepada perjalanan karier yang masih jauh.

“Setakat ini dua kejohanan itu adalah pencapaian terbaik saya. Saya harap lebih banyak kejayaan dapat saya capai selepas ini sama ada bersama pasukan Pahang mahupun Harimau Malaya.

“Malah, jika berpeluang, saya mahu mengembang­kan karier dengan beraksi dalam liga luar negara,” kata pemain yang genap berusia 23 tahun pada 3 Januari lalu.

 ??  ?? AKSI ketika membantu Malaysia meraih perak Sukan SEA 2017.
AKSI ketika membantu Malaysia meraih perak Sukan SEA 2017.
 ??  ?? NOR Azam Azih
NOR Azam Azih

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia