PERKAHWINAN DIRAJA
Putera Harry tamat zaman bujang dengan aktres AS
Ratusan juta penduduk dunia menonton secara langsung majlis perkahwinan Putera Harry dan aktres Meghan Markle semalam yang berlangsung dalam suasana mewah serta menggabungkan aura glamor Hollywood dan tradisi diraja British.
Majlis perkahwinan cucunda Ratu Elizabeth dan pelakon siri televisyen ‘Suits’ itu diadakan di gereja binaan abad ke-15, Gereja St George di Istana Windsor di sini.
Lebih 100,000 peminat juga dilaporkan akan mengerumuni jalan-jalan sempit di bandar itu yang menempatkan istana tidak berpenghuni paling tua dan paling besar di dunia, iaitu kediaman 39 monarki Inggeris sejak tahun 1066.
Majlis itu dihadiri ahli keluarga diraja selain selebriti terkenal termasuk David Beckham dan George Clooney.
Kawalan keselamatan di sekitar istana juga diperketatkan dengan polis lengkap dengan raifal automatik meronda di jalan raya dan memerhati dari bumbung bangunan.
Beberapa jam
sebelum majlis berlangsung, Istana Buckingham mengumumkan pasangan itu dianugerahkan gelaran Duke dan Duchess of Sussex.
Harry, 33, adalah pewaris keenam takhta diraja Britain dan Meghan, 36, seorang janda yang ibunya berdarah campuran Afrika-Amerika dan bapanya berkulit putih warga Amerika Syarikat.
Pasangan itu bertemu dalam temu janji buta pada 2016 dan jatuh cinta di dalam khemah di Botswana, Afrika.
Meghan akan disarungkan cincin perkahwinan yang diperbuat daripada emas Wales yang dihadiahkan oleh Elizabeth, manakala Harry akan memakai cincin platinum yang kedua-duanya dihasilkan pembuat barangan kemas terkenal, Cleave and Company.
“Ini adalah detik apabila kita semua meraikan kelahiran keluarga diraja,” kata Kenny McKinlay, 60, yang datang dari Scotland dan tiba di Windsor dengan menaiki kereta api.
“Ini adalah masa apabila semua negara bersatu bukan berpecah. Ini adalah hari untuk anda bangga menjadi rakyat Britain,” tambahnya.