GAYA ‘HOOK’ PILIHAN LUKMAN
Lebih konsisten peroleh strike, Rafiq jadi inspirasi pemain bowling lelaki terbaik B-12 MSSPP 2017 untuk terus berjaya
Impiannya cuma satu, mahu mengharumkan nama negara ke peringkat tertinggi dalam sukan bowling.
Sokongan ibu bapa antara faktor utama mendorong Nyak Ahmad Lukman Nyak Mazlan (gambar) bermain sukan itu.
Pemain berusia 13 tahun itu memasang impian untuk mewakili negara hingga bergelar juara dunia. Menjadikan Rafiq Ismail sebagai idolanya, Lukman berharap kejayaannya dalam sukan dan pelajaran berjalan seiring.
Ikuti temu bual berkisar perjalanan Lukman dalam mengorak langkah untuk bergelar pemain kebangsaan satu hari nanti bersama Metro Ahad. Soalan (S): Ceritakan kepada pembaca Metro Ahad sejak bila anda mula bermain bowling dan siapa individu bertanggungjawab dalam memperkenalkan anda kepada sukan ini?
Jawapan (J): Kami adik-beradik diperkenalkan dengan bowling sejak kecil lagi kerana bowling adalah aktiviti keluarga pada masa lapang. Minat terhadap bowling semakin serius bila selalu mengikuti kakak kedua saya, Nyak Nur Athirah bermain bowling dan ketika itu dia mewakili Pulau Pinang sewaktu berumur 10 tahun. Ibu dan bapa menghadiahkan bola bowling, kasut dan beg sebagai perangsang untuk saya bermain bersungguh-sungguh. Alhamdulillah, saya terpilih mewakili pasukan bowling Pulau Pinang B-12 sejak umur 11 tahun hingga sekarang.
S: Bagaimana anda membahagikan masa antara pelajaran dan sukan bowling? J: Jadual waktu harian saya amat padat.
Waktu latihan bowling bersama pasukan Pulau Pinang tiga kali seminggu pada sebelah petang. Saya perlu berlatih bersungguh-sungguh supaya berjaya dalam setiap pertandingan bowling peringkat kebangsaan seperti Piala Remaja MILO dan Sirkit Bowling Remaja Kebangsaan yang berlangsung hampir setiap bulan. Waktu belajar saya gunakan sepenuhnya untuk menghabiskan kerja sekolah dan mengulangkaji. Terima kasih kepada guru dan rakan yang membantu.
S: Gaya balingan apakah yang anda paling minat dalam permainan
bowling dan kenapa anda menggunakan gaya ini?
J: Gaya balingan ‘hook’ menjadi pilihan kerana cara ini lebih konsisten dan peluang menjatuhkan semua pin atau strike lebih tinggi.
S: Anda rasa di mana anda 10 tahun dari sekarang?
J: Saya mahu jadi pemain nombor satu Malaysia dan berjuang untuk negara tercinta serta berjaya di peringkat antarabangsa.
S: Siapa idola anda dalam sukan ini dan mengapa anda memilihnya sebagai idola?
J: Ramai pemain
hebat dan terkenal di dunia, tapi saya menjadikan Rafiq Ismail sebagai idola saya. Kali pertama bertemu dengannya ketika saya bertanding pada Sirkit Remaja Kebangsaan di Melaka. Masa itu saya berumur 11 tahun. Saya selalu mengikuti perjalanan kariernya dan sangat teruja dengan pencapaiannya pada usia muda ini. Saya menjadikan Rafiq sebagai inspirasi dan motivasi untuk terus meningkat.
S: Boleh anda berkongsi kenangan manis dalam sukan bowling?
J: Banyak kenangan manis antaranya dinobat sebagai pemain bowling lelaki terbaik kategori B-12 pada Kejohanan MSSPP 2017, seterusnya mewakili Pulau Pinang dan berjaya merangkul pingat dalam Kejohanan MSSM 2017. Selain itu, bermain bowling di peringkat antarabangsa pada Kejohanan All Stars di Kuala Lumpur serta kejohanan bowling Antarabangsa Sarawak. Saya juga pernah bertanding di luar negara seperti Singapura, Australia dan China. Saya mendapat tempat keempat dalam acara Masters Kejohanan Bowling Antarabangsa Pesta Pulau Pinang.