ANGKAT MARTABAT BOLING PADANG
Kejayaan Emma, Siti Zalina raih emas di Sukan Komanwel
wajar diberi pujian
Soalan: Emma Firyana Saroji, boling padang menamatkan kemarau 12 tahun meraih emas Sukan Komanwel apabila anda yang berpasangan dengan Siti Zalina Ahmad muncul juara.
Bagaimana anda melihat pencapaian di Gold Coast tempoh hari terutama pandangan orang ramai terhadap sukan ini.
Fazlee Fahmi Rozimi,
Pengkalan Chepa
Kejayaan meraih emas di Gold Coast adalah julung kali buat saya. Kejayaan itu menerusi acara pairs bergandingan dengan pemenang emas Sukan Komanwel 2006, Siti Zalina.
Ia hadir dengan penuh dramatik apabila kami ketinggalan pada peringkat awal sebelum mempamerkan kebangkitan untuk mengikat dan akhirnya menewaskan Afrika Selatan 15-14.
Kami berdua sering digandingkan sejak setahun lalu. Banyak kejohanan yang kami sertai dan percaturan itu mendatangkan hasil positif. Saya selesa bergandingan dengan Siti Zalina kerana corak permainan kami sama.
Saya fikir faktor yang menyumbang kepada kejayaan kami di Gold Coast tempoh hari adalah keinginan dan kemahuan tinggi untuk mencapai kejayaan selepas berusaha gigih sejak pusingan awal.
Kami bukan saja bermain untuk diri kami, tetapi untuk pasukan, persatuan, kontinjen dan negara.
Namun, pada masa yang sama, persediaan rapi dengan latihan dan pertandingan luar negara memberi ruang kepada kami membaiki kelemahan yang ada hingga tiba kemuncak di Gold Coast. Setiap perlawanan akan memberikan pelajaran baru.
Saya berharap kejayaan kami tidak dipandang rendah walaupun boling padang hanya dipertandingkan di Sukan SEA dan Komanwel setakat ini, tidak seperti sukan lain hingga ke pentas Olimpik.
Kami turut mempunyai kejohanan lain yang bertaraf dunia seperti Piala Dunia Dalam Dewan dan Kejohanan Juara-Juara yang mana ada di antara kami memenangi emas termasuk saya.