MINTA PILIH
Kerajaan Sabah yakin akan ada Ahli Parlimen dari negeri ini yang dilantik sebagai menteri dalam Kabinet Persekutuan yang baru.
Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Uda Sulai berkata, ini kerana secara tradisinya memang ada wakil rakyat dari Sabah yang akan dilantik dalam Kabinet Persekutuan.
Uda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas yang memenangi kerusi itu atas tiket Parti Warisan Sabah (WARISAN) berkata, WARISAN juga sudah mengemukakan enam nama Ahli Parlimen yang mewakili parti itu untuk dipertimbangkan.
“Saya yakin Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri tidak akan melupakan Sabah.
“Saya fikir tiada masalah (lantik menteri dari Sabah) kerana sebelum ini memang ramai yang dilantik sebagai menteri dari negeri ini.
“Justeru, saya berharap Ahli Parlimen kita diberi jawatan sebaiknya dan Dr Mahathir akan memberi peluang kerana kita bersamasama menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu,” katanya selepas hadir ke Program Pesta Kaamatan di Dewan Raya Kanangan di Kampung Kopimpinan di sini, kelmarin.
Kelmarin, Dr Mahathir mengumumkan senarai 14 anggota Kabinet Pakatan Harapan (PH) diketuainya selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Bagaimanapun, barisan Kabinet itu belum ada wakil Sabah dan Sarawak walaupun WARISAN diketuai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang bekerjasama dengan PH dalam PRU-14 dilaporkan menghantar senarai nama Ahli Parlimen untuk dipertimbangkan menyertai Kabinet.
Kabinet yang diumumkan kelmarin itu hanya membabitkan agihan portfolio antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).
Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari daripada PKR yakin akan ada Ahli Parlimen dari Sabah yang dilantik sebagai menteri dalam lantikan seterusnya.
“Kita memang berharap diberi jawatan dalam Kabinet Persekutuan, bagaimanapun sekarang ini masih dalam proses ke arah itu (melantik menteri),” katanya.
Pada 16 Mei lalu, Mohd Shafie berkata enam nama Ahli Parlimen daripada WARISAN dikemukakan untuk dipertimbangkan dilantik sebagai Menteri dalam Kabinet Persekutuan termasuk Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking, Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong dan Ahli Parlimen Silam, Datuk Mohammad Din Ketepi.
Sementara itu, Mohammad Din berkata, pengumuman pelantikan menteri dalam Kabinet Persekutuan bagi calon dari Sabah dijangka dilakukan hujung minggu ini.
“Ini kerana, Dr Mahathir mahu pelantikan ini selesai dengan cepat kerana mahu mengadakan mesyuarat Kabinet. Sama juga upacara angkat sumpah Ahli Dewan Negara mahu dipercepatkan kerana ada undang-undang mahu digubal.
“Saya harap pelantikan menteri Kabinet itu akan mengikut kuota yang ada kerana sebelum ini, di Sabah kita ada enam menteri penuh dan rakyat berharap kuota sedia ada itu diberikan kepada Sabah,” katanya.
Mengulas lanjut namanya turut disenarai untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri sebagai menteri dalam Kabinet Persekutuan, Mohammad berkata, dia menganggap ia perkara biasa namun rakyat memang berharap barisan Kabinet yang dibentuk turut mengemukakan calon dari Sabah.
“Saya biasa saja... rakyat mempunyai harapan yang tinggi berikutan kemenangan besar kita di Parlimen Silam termasuk tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lahad Datu, Tunggu dan Kunak.
“Bukan harapan saya tetapi rakyat di sana saya lihat mempunyai harapan yang tinggi kerana kita memberi kemenangan yang besar kepada WARISAN, jadi memang kita mengharap sesuatu yang terbaik,” katanya.