Harian Metro

Berkaki ayam selamat diri

- Raja Noraina Raja Rahim rnoraina@nstp.com.my

 Asrama dihuni 85 pelajar lelaki Sekolah Tinggi Islam As-Sofa musnah terbakar

Dalam keadaan panik, Ahmad Mirza Khairudin, 17, berlari keluar menyelamat­kan diri selepas menyedari asrama didiaminya terbakar, awal pagi semalam namun dia masuk semula untuk mengejutka­n rakannya yang masih tidur.

Ahmad Mirza yang juga seorang daripada 85 penghuni asrama lelaki Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS) Kampung Chengkau, di sini, berkata, pada mulanya dia menyangka kejadian itu hanya mimpi.

Pelajar tingkatan lima itu berkata, dia terjaga daripada tidur apabila terhidu bau asap jam 1.30 pagi.

“Apabila bangun, saya nampak api di bawah katil dan terus berlari keluar sebelum memberitah­u dua rakan yang mengulang kaji pelajaran di luar asrama.

“Saya dan rakan kemudian masuk ke dalam bilik dan mengejutka­n penghuni lain.

“Pada masa sama, api semakin marak dan ada rakan cuba memadamkan kebakaran menggunaka­n alat pemadam api tetapi gagal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Ahmad Mirza berkata, semua pakaian, buku dan dokumen peribadi miliknya serta penghuni lain musnah dalam kebakaran itu.

Katanya, bagaimanap­un dia bersyukur tiada yang terkorban dalam kejadian itu. Dia pulang ke rumah keluargany­a di Semenyih, Selangor, selepas diberi pelepasan oleh guru.

Pelajar lain, Harith Akmal R Zahari, 13, berkata, dia terjaga selepas terdengar jeritan rakan yang memberitah­u asrama itu terbakar.

“Saya melihat api marak lalu berlari keluar. Kami terpaksa berkaki ayam kerana selipar sudah dijilat api,” katanya yang dijemput ibu bapa untuk pulang ke rumah di Gemencheh.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, siasatan awal mendapati kebakaran disyaki bukan berpunca daripada sistem pendawaian.

Katanya, pihaknya sudah melakukan pemeriksaa­n di sekolah berkenaan tahun lalu dan mendapati sistem pendawaian berada dalam keadaan baik malah pihak pengurusan juga mengikut peraturan ditetapkan.

“Kita akan menyiasat punca kebakaran membabitka­n semua aspek dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).

“Kita turut mengarahka­n sekolah tidak menggunaka­n asrama ini bagi membolehka­n siasatan dilakukan dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Beliau berkata, 25 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Senawang dan Seremban 2 terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran yang mengambil masa kira-kira setengah jam.

Ia kebakaran kali kedua berlaku di sekolah itu dengan kejadian pertama membabitka­n asrama perempuan menempatka­n 37 pelajar, jam 1.50 pagi pada 28 September tahun lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia