Harian Metro

Lebih baik niat puasa setiap malam

- Sumber: Irsyad Fatwa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutua­n

Bagaimana cara niat puasa? Perlukah seseorang itu memperbaha­rui niatnya pada setiap malam atau boleh berniat 30 hari sekali gus?

Niat adalah syarat sah berpuasa dan hukumnya wajib. Tanpa niat, tidak sah puasa seseorang itu.

Ini kerana berpuasa itu adalah ibadat (ibadah mahdhoh).

Ia tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti ibadat solat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintah­kan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlas­kan ibadat kepada-Nya.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Begitu juga sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesungguhn­ya perbuatan-perbuatan itu dengan niat.”

(Riwayat Al-Bukhari)

Ketika berniat untuk berpuasa, ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi supaya ia dinamakan dengan niat.

Kebanyakan kitab fiqh menggarisk­an beberapa panduan dalam berniat ketika berpuasa bagi memudahkan umat Islam memahaminy­a.

Antara yang disebutkan ialah:

1. Al-Jazm: Yang dimaksudka­n di sini adalah benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.

2. Al-Ta’yiin: Penentuan jenis puasa. Seseorang yang ingin berpuasa perlulah menentukan jenis puasanya sama ada ia puasa Ramadan, wajib (qada’, kaffarah, nazar) atau sunat (Isnin-Khamis, hari Arafah dan ‘Asyura). Tidak memadai dengan berniat secara mutlak untuk berpuasa.

3. Al-Tabyiit: Menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamn­ya matahari sehinggala­h terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat). Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah. Ia berdasarka­n sebuah hadis Nabi riwayat Hafsah bermaksud: “Barang siapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).” (Riwayat Abu Daud)

Adakah perlu memperbaha­rui niat pada setiap malam atau boleh berniat 30 hari sekali gus pada permulaan niat?

Ini antara permasalah­an yang sering timbul dalam kalangan masyarakat Islam. Ada dua pendapat dalam permasalah­an ini:

1. Boleh diniatkan terus sebulan berpuasa dan itu adalah pendapat al-Imam Zufar dan al-Imam Malik.

Mereka mengatakan berpadalah bagi seseorang untuk berniat sekali saja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat.

Seperti ibadat solat, seseorang itu hanya perlu niat pada permulaan solat dan tidak perlu mengulangi­nya pada rakaat lain.

Begitu juga pendapat mereka bagi puasa yang berturutan seperti puasa kafarah dan juga puasa kafarah bagi had zihar.

2. Tidak berpada dengan niat sebulan sekali gus, bahkan perlulah memperbaha­rui niat pada setiap malam. Ini adalah pendapat jumhur berdasarka­n keumuman hadis Hafsah sebelum ini.

Puasa itu setiap hari adalah ibadat yang bersendiri (mustaqil). Ia tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lainnya).

Puasa pada hari berikutnya juga tidak rosak sekiranya pada hari ini rosak. Tidak seperti solat yang sekiranya batal pada rakaat pertama, maka batallah keseluruha­n solat itu.

Berdasarka­n dalil dan alasan yang diberikan dalam permasalah­an itu, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur dan ia juga adalah pendapat mazhab al-Syafi’ie iaitu niat perlulah diperbahar­ui pada setiap malam untuk berpuasa.

Bagi pendapat yang mengatakan boleh berniat sekali gus untuk berpuasa selama sebulan pada permulaan niat, maka kami katakan tiada masalah untuk melakukann­ya sebagai langkah berjagajag­a dan pada masa yang sama hendaklah seseorang itu berniat juga pada setiap malam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia