Harian Metro

Inilah dugaanku

 Bapa tunggal hidup daif di pondok bekas kandang kambing

- Noor Azurin Mohd Sharif cnews@nstp.com.my

Kedaifan hidup memaksa seorang bapa tunggal di Kampung Krubong di sini, menjadikan pondok usang yang asalnya dibina sebagai kandang kambing sebagai tempat tinggal.

Begitu kesusahan hidup dilalui Jaapar Mat, 53, apabila tidak mempunyai pendapatan tetap sehingga tidak mampu menyewa rumah.

Lebih menyedihka­n Ramadan ini, tatkala orang lain sibuk mencari juadah enak untuk berbuka puasa, Jaapar reda berbuka dengan air kosong dan kadangkala menumpang ihsan berbuka di rumah abangnya tidak jauh dari kandang kambing itu.

Jaapar berkata, dia terpaksa tinggal di kandang kambing itu sejak lima tahun lalu selepas berpisah dengan isteri berikutan pendapatan sebagai tukang paip yang tidak menentu.

“Memang rumah adik-beradik saya jaraknya tidak jauh cuma saya tidak mahu menyusahka­n sesiapa, mereka juga ada keluarga sendiri yang perlu diuruskan.

“Saya pernah memohon bantuan rumah untuk didirikan di tanah ibu saya ini, tapi hingga sekarang tiada jawapan diterima,” katanya selepas dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Mohd Rafiq Naizamohid­een, semalam.

Jaapar berkata, sejak itu dia hanya menggunaka­n kandang kambing sebagai pondok untuk tidur dan berehat berikutan tiada bekalan air serta elektrik manakala untuk mandi dia terpaksa ke rumah abangnya.

Sementara itu, Mohd Rafiq berkata, pihaknya akan membantu membina rumah baru untuk memberikan tempat tinggal lebih selesa kepada Jaapar selain beberapa penduduk yang sudah dikenal pasti.

“Kami tak boleh tunggu rakyat datang mengadu kerana seharusnya kami sendiri turun padang menyelami dan mencari masalah sebegini untuk dibantu dan diselesaik­an.

“Saya akan cuba menyegerak­an bantuan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk keselesaan mereka,” katanya.

 ??  ?? MOHD Rafiq melawat Jaapar yang serba daif di pondoknya.
MOHD Rafiq melawat Jaapar yang serba daif di pondoknya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia