32 aktiviti salah laku PRU14
Kuching: Pemantau BERSIH mengesan 32 aktiviti yang melanggar ketetapan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), baru-baru ini.
Daripada jumlah keseluruhan itu, 22 dilaporkan berlaku di kawasan Parlimen Stampin, manakala 10 dilaporkan dari beberapa kawasan lain di negeri ini.
Naib Pengerusi BERSIH Sarawak, Ann Teo berkata, kebanyakan aduan diterima pihaknya berkaitan masalah undi awal, masalah pendaftaran dan pemberian hadiah.
Pihaknya turut mengesan penganjuran jamuan, pengaruh tidak wajar daripada pihak tertentu, penggunaan jentera kerajaan untuk berkempen dan ada pihak masih menjalankan kempen pada hari pengundian.
“Kami lebih fokus kawasan Parlimen Stampin di Kuching kerana kekurangan sukarelawan melaksanakan pemantauan di semua kawasan.
“Walaupun tumpuan di satu kawasan itu saja, banyak kesalahan pilihan raya dikesan,” katanya di sini, semalam.
Justeru, Ann berkata, BERSIH Sarawak menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan siasatan terhadap individu dikenal pasti melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dengan segera dan telus.
“Kami juga mahu SPR menyiasat secara terperinci aktiviti membeli undi yang berlaku di Sarawak. Pihak BERSIH juga menawarkan kerjasama dengan SPR untuk membekalkan bukti pemantauan jika diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, laporan aduan diterima di Sarawak itu diserahkan kepada BERSIH pusat untuk dikumpul sebelum tindakan selanjutnya termasuk diserahkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).