Harian Metro

Hiba Aidilfitri tanpa ayah di sisi

-

Port Dickson: “Saya tak tahu macam mana rasanya nanti pertama kali menyambut Aidilfitri tanpa ayah,” kata Nor Rashidah Abd Rahim, 12, yang kehilangan bapanya akibat sakit jantung tahun lalu.

Nor Rashidah yang juga anak bongsu daripada empat beradik berkata, sejak ketiadaan bapanya, ibunya, Noor Isabi Mohd Hussin, 48, mengambil alih tanggungja­wab menyara mereka dengan bekerja di restoran.

“Sebagai anak bongsu, saya memang manja dengan ayah yang sebelum ini bekerja sebagai tukang kebun di Klinik Kesihatan Lukut di sini.

“Saya pasti akan berasa sangat sedih kerana menyambut Aidilfitri tanpa ayah di sisi. Kepada kawan yang masih ada ibu dan ayah, kasihilah mereka sementara masih ada peluang,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Kumpulan UDA Holdings di sini, malam kelmarin.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Port Dickson itu antara kanak-kanak yang bernaung di bawah Yayasan Anak-Anak Yatim Port Dickson diraikan dalam majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan berkenaan.

Sumbangan disampaika­n Pengarah Urusan Kumpulan UDA Holdings Datuk Ahmad Abu Bakar. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Pengurusan Aset Kumpulan UDA Holdings Datuk Ahmad Tajuddin Mohamed.

Sementara itu, rakan Nor Rashidah, Noorliyana Mohd Radzi, 12, dari SK Panglima Adnan, di sini, berkata, bapanya sudah sembilan tahun meninggal dunia.

“Saya tidak kenal ayah kerana dia meninggal ketika saya masih kecil. Emak, Nooraini Abd Wahab, 49, yang menjaga saya bersama lima abang dan kakak.

“Mungkin sebab sudah terbiasa sejak kecil, saya tidak terlalu sedih berbanding kakak dan abang yang tidak dapat menyembuny­ikan perasaan mereka setiap kali Syawal,” katanya.

 ??  ?? NOR Rashidah (tengah) bersama rakannya terharu antara 45 orang anak-anak yatim Yayasan Anak-Anak Yatim Port Dickson yang diraikan.
NOR Rashidah (tengah) bersama rakannya terharu antara 45 orang anak-anak yatim Yayasan Anak-Anak Yatim Port Dickson yang diraikan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia