Harian Metro

Terpaksa mencuri anak lapar susu

 Penyelia kilang, dua rakan dipenjara miliki harta majikan

- Sarah Zulkifli sarah@nstp.com.my

Tiga rakan sekerja dipenjara dan didenda di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan memiliki sebuah kipas, lapan kotak lampu LED dan sebuah pokok krismas yang dicuri daripada majikan mereka, minggu lalu.

Majistret Nurshahira­h Abd Salim menjatuhi hukuman penjara enam hari terhadap penyelia kilang, Suzanna Mohamed, 33, empat bulan penjara terhadap Mat Juri, 24 dan denda RM2,000 terhadap R Ravindran, 30.

Mahkamah memerintah­kan semua tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 18 Mei lalu dan tujuh hari penjara terhadap Ravindran jika gagal bayar denda.

Dalam prosiding itu, ketika disoal Nurshahira­h alasan mereka melakukan perbuatan itu, Mat Juri berkata, dia terpaksa kerana majikan tidak membayar gaji dan tidak mempunyai wang untuk membeli susu anak.

“Yang Arif, anak saya terpaksa minum air gula dan saya melakukan perbuatan itu kerana terpaksa,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Nurshahira­h turut menasihati semua tertuduh supaya berfikir terlebih dulu sebelum bertindak dan tidak menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk mencuri.

Mengikut pertuduhan pilihan, mereka didakwa memiliki harta curi antaranya sebuah kipas, lapan kotak lampu LED, sebuah pokok krismas dan satu set pembesar suara milik Syarikat Geserad Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Blok A16, Flat Puchong Permai, Jalan Taman Puchong Permai di sini, pada 3 petang, 18 Mei lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Suzanna dan Mat Juri turut mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan khianat dengan cara memecahkan meja dan bekas simpanan barang serta membengkok­kan besi dalam stor syarikat itu.

Bagi kesalahan itu, mereka dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau tujuh hari penjara sekiranya gagal membayar denda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di stor kilang Geserad Sdn Bhd, No 62 dan 66, Jalan Intan 1, Puchong Intan, Puchong di sini, pada 12.30 tengah malam, 12 Mei lalu.

Dalam pada itu, Mat Juri yang juga warga Indonesia turut dijatuhi hukuman penjara empat bulan atas kesalahan tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan iaitu selama tiga tahun sejak 13 Februari 2015 di Blok A13, Flat Puchong Permai, Jalan Taman Puchong Permai, di sini, pada 2 pagi, 18 Mei lalu.

 ??  ?? SUZANNA, Mat Juri dan R Ravindran (belakang) dipenjara dan didenda oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam atas pertuduhan memiliki harta milik majikan.
SUZANNA, Mat Juri dan R Ravindran (belakang) dipenjara dan didenda oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam atas pertuduhan memiliki harta milik majikan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia