Harian Metro

Rombakan drastik beregu wanita

-

Bangkok: Perubahan drastik dijangka berlaku dalam beregu wanita berikutan aksi suram skuad Piala Uber negara di Bangkok.

Semalam, Malaysia mengakhiri cabaran di tangga ketiga Kumpulan D selepas kalah dua kali (menentang Indonesia dan China) dan menang sekali (bertemu Perancis).

Ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak mengakui perubahan harus segera dilakukan jika tidak skuad beregu wanita kekal di takuk lama.

“Sebelum datang ke sini, ramai beranggapa­n kami akan bermain dengan baik terutama sekali selepas Vivian Hoo-Chow Mei Kuan meraih emas Sukan Komanwel Gold Coast bulan lalu, namun Sukan Komanwel tidak sama seperti Piala Uber.

“Saya melakukan beberapa percaturan di sini, untuk melihat gandingan mana lebih berkesan dan mana yang sebaliknya, siapa yang meningkat prestasi atau siapa tidak. Ia memberikan saya gambaran jelas. Mungkin ini masanya untuk memberi lebih pendedahan kepada pemain muda selepas tonggak senior tidak menunjukka­n peningkata­n,” kata Rosman, yang baru saja mengambil alih jawatan ketua jurulatih daripada Wong Pei Tty bulan lalu.

Ditanya mengenai pemain yang akan disingkirk­an, Rosman tidak menolak perkara itu terutama selepas beliau meminta ruang kepada pengurusan untuk diberi tempoh hingga Ogos depan.

“Saya mahu menilai pemain saya, melihat di mana mereka berada. Secara peribadi saya melihat mereka mampu untuk berada dalam kelompok 20 terbaik dunia tapi adakah setakat itu saja? Saya tidak mahu mereka kekal di tahap itu saja, saya mahu mereka melonjak dan melihat sejauh mana mereka mampu pergi,” kata Rosman.

Mengimbau kembali kempen Malaysia dalam saingan Piala Uber tahun ini, mata sumbangan beregu wanita hanya hadir melalui aksi terakhir ketika mengalahka­n Perancis 5-0.

“Saya rasa pemain yang berjaya menepati ramalan untuk beraksi dengan baik adalah Goh Yea Ching. Dia nampaknya mampu untuk berada dalam senarai pemain senior. Tahun depan, kita juga akan melihat beberapa pemain dinaikkan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil namun itu untuk program jangka panjang,” katanya.

Rosman berkata, ketika menanti Woon Khe Wei (gandingan tetap Vivian) pulih daripada kecederaan, Vivian akan digandingk­an dengan pemain lain dalam beberapa kejohanan.

 ??  ?? VIVIAN (kanan) bersama Jing Yi beraksi ketika bertemu beregu Perancis.
VIVIAN (kanan) bersama Jing Yi beraksi ketika bertemu beregu Perancis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia