Mahu jumpa pemangku Pengerusi BN
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man akan bertemu kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) bagi mendapatkan pandangan dan panduan berhubung pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam masa terdekat.
Azlan yang mengangkat sumpah jawatan itu untuk penggal kedua berkata, beliau akan berbincang dengan pemangku Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bagi mendapatkan pandangan dan panduan berhubung perkara itu.
Ia susulan tindakan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN negeri itu memboikot Majlis Istiadat dan Angkat Sumpah Menteri Besar Perlis di Istana Arau, semalam.
Azlan berkata, beliau akan mendapatkan pandangan kepemimpinan BN bagi memastikan segala kerja dan perkhidmatan kepada rakyat dapat diteruskan.
“Saya perlu bertemu dengan mereka (Zahid dan Hishammuddin) untuk mendapatkan pandangan dan panduan berkenaan pelantikan Exco.
“Dalam pertemuan itu juga, saya akan memberikan pandangan saya terhadap formula terbaik yang membolehkan pelantikan barisan Exco dapat dilaksanakan untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berkenaan di Istana Arau, di sini semalam.
Katanya, beliau menjunjung amanah yang diberikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk menerajui kerajaan Perlis bagi penggal kedua.
“Pada saya, ini adalah amanah serta tanggungjawab yang besar untuk menjalankan tugas sebagai Menteri Besar kerana kita tahu Perlis kini sudah menjadi negeri pembangkang.
“Oleh demikian, segala agenda pembangunan yang dititahkan oleh Tuanku akan diteruskan supaya dapat memberikan faedah kepada rakyat.
“Diharapkan saya mendapat sokongan daripada semua ADUN terutama BN untuk membantu melaksanakan agenda pembangunan di negeri ini,” katanya.