Agih 6,300 pek makanan bantu fakir miskin
Bangi: Sebanyak 6,300 pek makanan diagihkan Islamic Relief Malaysia (IRM) kepada golongan sasar di seluruh negara yang membabitkan golongan fakir miskin, ibu tunggal dan mualaf menerusi program ‘Ramadan Relief’ dianjurkan.
Sumbangan pek makanan bersempena Ramadan diadakan di seluruh negara itu memberi manfaat kepada lebih 31,500 orang membabitkan pelbagai kategori.
Ketua Pegawai Eksekutif IRM Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, agihan pek makanan Ramadan adalah program bermusim membabitkan cawangan Islamic Relief di seluruh dunia.
“Pek ini mengandungi makanan asas antaranya bihun, garam halus, gula, tepung, kicap manis, minuman malt dan makanan dalam tin.
“Kategori penerima pula dibahagikan kepada orang kurang upaya (OKU), fakir miskin, ibu tunggal, mualaf dan warga emas,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat IRM di Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.
Menurutnya, program Ramadan Relief turut membabitkan Sabah dan Sarawak diharap pihaknya berharap dapat membantu penerima menikmati juadah berbuka serta bersahur yang lebih berkualiti.
Beliau berkata, pihaknya turut menyalurkan sumbangan 3,540 pek makanan di 30 buah negara termasuk Syria, Palestin dan Somalia.
“Kami sangat menggalakkan orang ramai untuk sama-sama menyalurkan sumbangan dalam program ramadan menerusi akaun 562142708704 (Maybank), 12029010065643 (Bank Islam) atau 8602073818 (CIMB),” katanya.