Bijak tapi curi motosikal
Polis rampas lori, kereta termasuk rangka motosikal hasil jenayah tiga suspek
Kuala Berang:
Walaupun berkelulusan ijazah dalam bidang pengurusan perniagaan, seorang lelaki menjadikan jenayah curi kenderaan sebagai pekerjaan bersama dua lagi rakan bagi mendapatkan wang mudah.
Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 36 tahun itu terbongkar selepas ditahan polis dalam beberapa serbuan di daerah ini sejak 15 hingga 20 Mei lalu.
Dalam serbuan itu, polis merampas lima motosikal dan masing-masing sebuah kereta dan lori yang dicuri tiga penjenayah itu.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, hasil siasatan yang dijalankan pihaknya membawa kepada serbuan pertama pada jam 5 petang 15 Mei di sebuah rumah di Kampung Butut Baru dan menahan bekas penuntut sebuah universiti berusia 26 tahun.
Menurutnya, hasil soal siasat itu membantu polis menahan seorang lagi lelaki berusia 29 tahun dari Kampung Tajin dan merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR yang dilaporkan hilang di Kuala Berang.
“Keesokannya, pada jam 1 tengah hari, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Hulu Terengganu, menyerbu sebuah rumah di Taman Sungai Bajar dan menahan seorang lelaki berusia 36 tahun serta merampas kerangka motosikal jenis Yamaha Ego bersama komponen lain.
“Pada jam 2.30 petang hari yang sama, suspek pertama membawa polis ke rumahnya di Kampung Butut Baru dan menyerahkan motosikal jenis Honda C70.
“Suspek kedua pula membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Tajin dan menyerahkan komponen enjin motosikal Yamaha 125Z yang disimpan di dalam stor di bawah rumah,” katanya pada sidang media di IPD Hulu Terengganu di sini semalam.
Menurutnya, pada 18 Mei lalu pada jam 3 petang, kedua-dua suspek sekali lagi membawa polis ke sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tajin dan menunjukkan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego.
Katanya, dua hari kemudian, suspek membawa polis ke rumah tidak bernombor di Kampung Tajin sebelum menunjukkan sebuah lori jenis Daihatsu Delta.
“Kedua-dua suspek itu memberitahu menyimpan sebuah kereta jenis Proton Satria putih dan pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Serdang, Selangor,” katanya.
Mohd Adli berkata, ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis amphetamine dan mereka mengaku terbabit dalam semua kes kecurian motosikal, lori serta kereta berkenaan untuk membeli dadah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan dan setiap motosikal curi dijual antara RM300 hingga RM400 manakala lori pula dijual pada harga RM3,000.
“Semua nombor enjin kenderaan sudah diubah suai manakala setiap kenderaan curi diletakkan nombor pendaftaran palsu dan tiga sekawan itu menjalankan kegiatan curi kenderaan sejak enam bulan lalu,” katanya.
Menurutnya, suspek berusia 36 tahun mempunyai kelulusan dalam bidang pengurusan perniagaan dari sebuah universiti tempatan manakala dua lagi rakannya adalah penganggur.
FAKTA Ahli kumpulan itu
mengaku terbabit dalam jenayah sejak
6 bulan lalu