Harian Metro

Rugi besar jika batal HSR

-

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan perlu menanggung kerugian besar jika projek kereta api berkelajua­n tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dibatalkan.

Susulan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu mencari jalan alternatif untuk mengurangk­an jumlah wang yang perlu dibayar sebelum membatalka­n perjanjian dibuat pentadbira­n terdahulu.

“Kita akan kerugian besar jika memutuskan untuk membatalka­n HSR. Berdasarka­n perjanjian dibuat bersama Singapura, kita perlu membayar sejumlah wang yang besar jika mahu menggugurk­an projek itu,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama akhbar The Edge Weekly.

Projek RM100 bilion itu antara projek mega inisiatif pentadbira­n bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini dipantau kerajaan semasa.

Satu lagi projek mega dikaji ialah pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM60 bilion.

Mengenai ECRL, Dr Mahathir nekad menolak projek itu sambil menyifatka­nnya sebagai kontrak ‘pelik’ kerana negara perlu membiayai projek itu dengan pinjaman dari China selain mengupah kontraktor dari negara itu.

“Kontrak itu pelik. Ia menyatakan kontraktor mesti dari China dan pinjaman dari China. Wang pinjaman RM55 bilion daripada bank eksport dan import China tidak sepatutnya datang ke sini, tetapi (di luar negara) untuk membayar kontraktor di China,” katanya.

Apabila ditanya sama ada wang dipinjam untuk projek itu tidak akan dibawa ke Malaysia, Dr Mahathir tidak menolak perkara itu. “Itulah aturannya dan pembayaran kepada kontraktor, China Communicat­ions Constructi­ons Co Ltd, sepatutnya dibuat atas istilah yang terperinci tanpa mengira (peringkat) kerja yang disiapkan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia