Harian Metro

Peniaga dihukum mati bunuh pencari besi

-

Kuala Terengganu: Seorang peniaga dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam kerana membunuh seorang lelaki di Kemaman dalam kejadian 2015.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Mohamad Zulkifli Ismail, 53, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan itu, dia didakwa membunuh Zulkefle Abdullah, 37, yang juga pencari besi di kawasan sebuah rumah di Jalan Kemaman-Dungun, Kampung Labohan, Kerteh dekat Kemamam jam 10.30 pagi, 7 Disember 2015.

Bapa tiga anak itu turut didakwa mengikut Seksyen 326 kanun yang sama dan dihukum penjara 14 tahun kerana mendatangk­an kecederaan parah kepada rakan Zulkefli, Faizul Awang, 34, pada tempat, masa dan tarikh sama.

Zainal Azman dalam penghakima­nnya berkata, keputusan dibuat selepas pihak pembelaan gagal membuktika­n tindakan tertuduh itu kerana mahu mempertaha­nkan diri sebaliknya tertuduh yang menyerang mangsa.

Katanya, lokasi kejadian yang tidak berpagar membolehka­n tertuduh melarikan diri sekiranya dia diserang.

“Ketika kejadian, tertuduh mempunyai telefon bimbit, namun tidak menggunaka­nnya untuk meminta tolong dan tertuduh boleh melarikan diri atau meminta tolong sekiranya diserang, memandangk­an kejadian berlaku berhampira­n jalan utama.

“Pihak pembelaan mendakwa wujudnya provokasi, sedangkan jarak antara dua mangsa dan tertuduh jauh, jadi tidak timbul isu provokasi.

“Tertuduh mendakwa perbuatan mencederak­an mangsa tidak disengajak­an, namun hasil keterangan dan siasatan mendapati, tikaman di dada kanan kedua-dua mangsa disengajak­an,” katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud dan Syazwani Zawawi. Manakala tertuduh diwakili peguam, Azizzul Shariman Mat Yusoff dan Ariff Azami Hussein.

Zainal Azman mengambil kira kepentinga­n awam dalam membuat keputusan itu dan hukuman diharap memberi pengajaran kepada masyarakat tidak mengambil tindakan sendiri jika menghadapi situasi sama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia