Musibah angin hitam berpusar
Baling: “Saya nampak angin berpusar warna hitam menerbangkan bumbung rumah dan atap sejauh 30 meter,” kata penduduk, Mohd Zukhi Ghazali, 54, menceritakan kejadian ribut di Kuala Ketil di sini, kelmarin.
Menurutnya, angin kuat itu turut menerbangkan bumbung rumahnya dan merosakkan premis lain.
Kejadian jam 6 petang membabitkan beberapa kawasan termasuk Taman Bidara dengan 35 rumah rosak, Taman Insaniah (10), Taman Permai (dua) dan Kampung Batu Satu (1).
Baki premis yang rosak membabitkan 10 rumah kedai di pekan Kuala Ketil dan surau di Taman Desa Bidara dan Kampung Batu Satu.
Peniaga di Medan Selera Taman Desa Bidara, Abdul Aziz Zakaria, 52, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan anak menguruskan gerai.
Katanya, dia memegang tiang khemah dipasang berhampiran gerai kerana bergoyang dan bimbang diterbangkan angin kencang disertai hujan lebat.
“Perasaan saya semakin gundah apabila jiran menelefon menyatakan atap rumah saya diterbangkan ribut.
“Namun, saya lega kerana ketika kejadian kelima-lima anak keluar ke kedai dan pulang sebaik ribut dan hujan berhenti sejam kemudian,” katanya.
Katanya, cermin kereta diparkir di depan rumah juga pecah.
Mangsa lain, Mohamad Zaidi Ahmad, 38, berkata, atap rumahnya tercabut dan terpelanting ke rumah jiran.
“Saya bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku ketika ribut itu,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, kebanyakan rumah penduduk rosak.
“Pokok turut tumbang dan menghalang jalan utama serta kampung, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil Mansor Zakaria yang melakukan tinjauan di kawasan perumahan berkenaan semalam berkata, beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan berharap mangsa bersabar sementara dihulurkan bantuan.