Bilangan undi rosak tak masuk akal
Jaya: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mendakwa ada unsur penipuan sewaktu pengiraan undi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga ada calon Pakatan Harapan (PH) tewas dengan jumlah undi rosak yang tidak masuk akal dan mengejutkan.
Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, keputusan itu sekali gus menyebabkan gabungan parti dalam pakatan itu tidak mendapat keputusan baik walaupun memenangi PRU14, 9 Mei lalu.
“Ada calon yang menang, tiba-tiba datang peti undi lain menyebabkan kita kalah. Ada juga kes di mana undi rosak mencecah 700 hingga 800 undi. Takkanlah orang Malaysia ini bodoh sangat.
“Berapa banyak kerusi yang hilang? Kami masih mengira. Agak banyak, saya tidak dapat kata beberapa jumlah. Bukan saja parti (PPBM) tetapi parti lain juga,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu di ibu pejabat parti di Menara Yayasan Selangor, di sini semalam.
Ditanya jika kerajaan membuat perubahan termasuk menukar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan unsur penipuan itu, Dr Mahathir berkata, “Bagi parti berkenaan, kami sedia membangkitkan kes ini, bergantung kepada penemuan. Jika kita ada alasan atau tidak, apa jua tindakan yang perlu bakal diambil.”
“Saya difahamkan beliau (Pengerusi SPR), mahu meletak jawatan tetapi jika ia berbuat demikian dan jika ada apa-apa terhadapnya, tindakan tetap diambil mengikut undang-undang negara,” katanya.
Mengenai mesyuarat itu, Dr Mahathir berkata, kebanyakan perbincangan tertumpu kepada masalah yang muncul selepas PRU14 selain permintaan ribuan anggota UMNO untuk menyertai PPBM ketika ini.
Beliau berkata, pihaknya sedia menentukan status mana-mana permohonan hanya apabila anggota UMNO mengisytiharkan diri keluar parti dan menyatakan pendirian terhadap PH..
Jelasnya, mesyuarat berkenaan juga membincangkan hala tuju seterusnya selepas misi menumbangkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilakukan. -BERNAMA