Man Kanan rahsia penyakit dihidapi
Kuala Lumpur: Kematian bekas pemain dram kumpulan Flop Poppy, Azman Ismail atau Man Kanan, 45, akibat serangan jantung pada Sabtu lalu meninggalkan kesan kepada isterinya, Habibunisah Mohd Azir, 41.
Habibunisah atau dikenali sebagai Habib berkata, apa yang berlaku amat mengejutkan kerana pendapatan mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada bidang nyanyian.
“Saya dan arwah bergabung tenaga sebagai busker dalam kumpulan D’ Phoenix. Selepas Kuala Lumpur, kami berhijrah ke Johor Bahru untuk mencari pengalaman baru.
“Kami positif untuk mencari rezeki di sini (Johor Bahru), namun tidak disangka kerana abang (suami) ditakdirkan menemui ajal di sini.
“Walaupun sedih, saya kena reda dengan pemergiannya dan perlu meneruskan hidup bersama anak-anak selepas ini,” katanya.
Dalam kejadian itu, Man Kanan sedang tidur dan dikejutkan isterinya untuk ke bazar Ramadan.
Bagaimanapun, sebaik bangun dari tidur, arwah tiba-tiba mengurut dada dan mengadu sesak nafas sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi Habib.
Habib kini bertanggungjawab menyara dan membesarkan lapan anak arwah.
“Tiga anak daripada perkahwinan terdahulu arwah masih belajar. Perkahwinan kami dikurniakan anak, Nur Muhammad Tuah yang kini berusia setahun empat bulan dan kini saya mengandung anak kedua pula,” katanya.
Habib berkata, Man meninggalkan seorang lagi isteri iaitu Azi Fitrah, 46, dan seorang anak, Putra Azrullah yang kini berusia dua tahun lapan bulan.
“Sebelum ini Putra Azrullah mengalami masalah usus tidak bersambung. Bagaimanapun keadaannya kini sudah pulih. Azi tidak bekerja dan saya perlu membantunya kerana dia juga mempunyai anak dengan bekas suami terdahulu,” katanya.
Menurut Habib, jiwanya terkesan dengan apa yang berlaku dan perlu mengambil masa pulih.
Habib melahirkan perasaan sedih arwah suaminya merahsiakan penyakit yang dihidapinya kerana tidak mahu membuatkan mereka susah hati.