PPBM maklum terima borang permohonan ADUN BN
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang memaklumkan menerima borang permohonan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) untuk menyertai parti itu.
Pengerusi PPBM Pulau Pinang, Marzuki Yahya berkata, perbincangan mengenai hasrat ADUN BN yang mahu menyertai parti itu juga sudah dibangkitkan dalam Mesyuarat Badan Perhubungan PPBM Pulau Pinang dengan borang permohonan diterima, baru-baru ini.
“Kita sentiasa mengalu-alukan penyertaan sesiapa saja, termasuklah Ahli Parlimen, ADUN atau ahli daripada mana-mana parti politik di negara ini ke dalam PPBM, sekali gus ia akan mengukuhkan lagi kedudukan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh kongsi perkembangan lanjut mengenai hasrat ADUN BN untuk menyertai PPBM ini sehingga keputusan mengenainya dimuktamadkan,” katanya.
Pada PRU14 lalu, BN berjaya mengekalkan kemenangannya di dua kawasan DUN, masing-masing di Permatang Berangan yang diwakili Nor Hafizah Othman dan Sungai Dua iaitu Muhamad Yusoff
Mohd Noor.
Sementara itu, Nor Hafizah dan Mohd Yusoff menafikan dakwaan mereka berhasrat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ekoran faktor kekangan kewangan.
Muhamad Yusoff berkata, pihaknya masih setia bersama perjuangan UMNO dan BN, selain menyifatkan parti itu banyak berjasa kepada kehidupannya.