Pecah kepungan Gaza
50 NGO sertai misi khas Wake-Up 4 Gaza: Freedom Humanitarian
Buat pertama kali dalam sejarah, gagasan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan dunia diketuai Mile of Smiles berjaya memasuki bumi Gaza yang terkepung sejak 12 tahun lalu.
Gagasan berkenaan yang disertai 50 NGO seluruh dunia dari Malaysia, Eropah dan Timur Tengah itu menyatakan solidariti mereka dalam misi khas memecah kepungan Gaza ‘Wake-Up 4 Gaza’: Freedom Humanitarian Mission’ bermula awal Ramadan lalu dengan objektif menyelia dan menyampaikan bantuan perubatan, makanan, pendidikan serta pengupayaan semula ibu tunggal dan anak yatim Palestin.
Wakil tunggal Malaysia, Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Ahmad Sani Araby Al-Kahery terpilih sebagai Duta Malaysia dalam siri kedua misi berkenaan bermula esok hingga 1 Syawal ini.
Beliau yang juga Pengarah Strategi MAPIM berkata, misi berkenaan membabitkan dua siri manakala kumpulan pertama disertai 20 sukarelawan berjaya memasuki Gaza pada awal Ramadan lalu dan keluar dari situ, kelmarin.
“Bumi Gaza seperti dunia sedia maklum menerima sekatan kemasukan delegasi serta bantuan luar sejak 2006.
“Sebanyak 80 peratus rakyat Palestin daripada dua juta orang terpaksa bergantung kepada bantuan antarabangsa dan 65 peratus lagi hidup di bawah kadar kemiskinan susulan perang dan kemusnahan lebih ratusan terowong bawah tanah yang menjadi laluan urusan ekonomi mereka sebelum ini.
“MAPIM sendiri sudah 40 kali membuat cubaan masuk menerusi pelbagai agensi dan NGO sejak 2014 namun semua usaha itu gagal.
“Alhamdulillah, semalam (kelmarin) saya dihubungi Mile of Smile bahawa kumpulan pertama sudah keluar dari Gaza dan kebenaran sudah diterima daripada kerajaan Mesir untuk kemasukan siri kedua bermula Rabu ini hingga 15 Jun. Ini satu perkembangan positif,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Menurutnya, sepanjang misi berkenaan berjalan, MAPIM melancarkan Tabung Kilat Bantuan Kecemasan Gaza dengan menyasarkan jumlah kutipan dana RM1.5 juta dan mengalu-alukan sumbangan menerusi akaun Maybank bernombor 562834636620.
“Apabila dapat masuk ke Gaza, kita akan mengambil peluang melihat bagaimana hubungan Malaysia dan Gaza dapat dijalinkan untuk membantu apa yang penduduk Palestin perlukan untuk tempoh masa panjang.
“Saya percaya jika secara kolektifnya rakyat Malaysia menghidupkan momentum peduli Gaza, tidak mustahil jumlah kutipan itu akan menjadi besar dan seterusnya dapat disalurkan khusus untuk pembangunan semula sektor pendidikan dan pengupayaan sektor ekonomi dan mikro kredit kepada rakyat Palestin di samping bantuan segera perubatan dan lain-lain.
“Pihak MAPIM juga mengajak netizen, ahli korporat, pihak media serta rakan artis untuk membantu hebah dan tularkan misi ini khususnya di media sosial supaya momentum Malaysia peduli hal Gaza dapat dihidupkan,” katanya. Berkongsi perkembangan terkini di Gaza, katanya, setakat ini angka kematian melebihi 100 orang terkorban dan kemungkinan ramai lagi cedera dalam siri serangan dilakukan rejim Zionis sejak dua bulan lalu.
“Boleh dikatakan hampir setiap hari serangan demi serangan dilakukan Israel. Berita yang saya terima keadaan di sana agak tegang dan semakin meruncing, ada kebarangkalian bila-bila masa saja boleh berlaku peperangan apatah lagi selepas pemindahan pejabat Kedutaan Amerika Syarikat ke Baitulmaqdis.