LUHUR BUDI PEKERTI
Umat Islam hidup sejahtera dengan nilai wasatiyyah
Menurut Syeikh al-Qaradhawi dalam bukunya, Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita
Idamkan, beliau menghuraikan masyarakat Islam sebagai masyarakat berakidah, beribadat, menghargai intelektual, beradab, berakhlak dan berperikemanusiaan.
Dasar akidah mempengaruhi falsafah hidup secara menyeluruh. Tiga persoalan asasi kemanusiaan dijawab dengan dasar akidah berkenaan.
Persoalan itu ialah dari mana kita datang, kenapa kita diciptakan dan ke mana kita akan pulang.
Masyarakat Islam menunjukkan komitmen Islamnya dengan ibadat. Ia menjadi syiar hubungannya dengan Allah SWT, bahkan mereka sedar tugas utama adalah beribadat kepada Allah SWT.
Masyarakat Islam juga terbina dengan pemikiran dan pemahaman yang jelas. Pertimbangannya dalam menilai amalan, pendirian, individu dan ideologi sangat wasatiyyah (pertengahan), unik dan terpandu.
Tidak ekstrem ke kanan atau ke kiri, ke Timur atau ke Barat. Itulah masyarakat intelektual yang seimbang dengan dalil naqli dan aqli.
Masyarakat Islam adalah masyarakat yang luhur budi pekertinya. Mereka meyakini agama itu adalah keindahan budi pekerti.
Akhlak pula bersangkutpaut dengan perintah dan larangan yang datang daripada sumber Ilahi Rabbani yang melahirkan masyarakat berakhlak mulia.
Adab kesopanan dan budaya masyarakat Islam juga cukup unik. Ia tidak condong kepada satu jenis kebudayaan masyarakat tertentu saja.
Semua adab budaya yang tidak bercanggah dengan syariat akan tetap dihargai.
Selain itu, masyarakat Islam juga terbina atas dasar perikemanusiaan (humanity) yang tinggi. Itulah dasar yang diperlukan sesiapa saja manusia yang bertamadun.
Kemanusiaan hanya akan tertegak oleh masyarakat yang menjunjung ilmu pengetahuan. Dengan ilmu, manusia layak menjadi khalifah.
Allah SWT berfirman ketika menolak sangkaan malaikat mengenai penciptaan manusia yang mungkin hanya tahu meakukan kemusnahan dan pertumpahan darah saja.
Dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Allah mengajarkan Adam nama-nama keseluruhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 30-33)
Masyarakat yang benarbenar menghayati ajaran Islam akan menjadi masyarakat berilmu. Bahkan, alQuran yang diturunkan menggesa mencari ilmu dan menggunakan akal sehinggakan ayat pertama yang diturunkan ialah “Bacalah! Dengan nama Tuhan-Mu yang menciptakan.” (Surah al-Alaq, ayat 1)
Kenapa pertumpahan darah tetap berlaku di sana sini? Tidak senua orang melengkapkan dirinya dengan ciri-ciri masyarakat Islam.
Firman Allah SWT, “Katakanlah, adakah sama orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu?” (Surah az-Zumar, ayat 9)
Hanya orang yang berilmu akan kenal dan takut kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah dalam kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.” (Surah Fathir, ayat 28)
Ilmu tanpa amal bagaikan pokok tidak berbuah. Masyarakat Islam perlu mempraktikkan ilmunya dalam bentuk amal iaitu ibadat, khilafah (pemerintahan) dan imarah (memakmurkan bumi).
Ibadat menjadi keutamaan hidup dalam hidup. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat kepadaKu,” (Surah al Zariyat, ayat 56)
Tugas manusia ialah menjadi khalifah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku mahu menjadikan seorang khalifah di muka bumi.”
Tidak cukup dengan itu, manusia mesti memakmurkan bumi ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah yang menciptakan kamu daripada tanah dan menjadikan kamu pemakmurnya…” (Surah Hud, ayat 61)
Tiga perkara itu saling berkait rapat. Memakmurkan bumi adalah tugas khalifah dan seorang khalifah mesti beribadat kepada Allah SWT.
Amal soleh yang sering disebut dalam al-Quran sangat luas pengertiannya merangkumi semua amal yang membawa kebaikan kepada agama dan dunia, individu dan masyarakat.
Ia merangkumi ibadat dan muamalat, kehidupan dan kematian. Al-Quran menunjukkan ke arah yang terbaik, bukan sekadar yang baik.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Untuk Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang paling baik amalannya.” (Surah al-Kahfi, ayat 7)
Banyak lagi tempat di dalam al-Quran, ungkapan yang bermaksud penilaian bukan saja antara amal buruk dan amal baik, bahkan penilaian merangkumi amalan terbaik dalam kalangan amal yang baik.
Begitulah hebatnya Islam mendorong penganutnya menjadi sebuah masyarakat beramal secara terbaik, bahkan terus produktif, menjadi pengeluar dan sepatutnya menjadi masyarakat paling kaya dan pemurah di dunia ini.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seseorang itu memakan makanan yang lebih baik daripada makanan hasil titik peluhnya sendiri.
Nabi Allah Daud makan makanan hasil titik peluhnya sendiri.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)
Motivasi yang menggalakkan budaya produktif itu berterusan sehinggalah ke saat kiamat kecil atau besar berlaku dalam hidup kita.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila berlakunya kiamat sedangkan ketika itu terdapat di tangan salah seorang kamu benih kurma, jika kamu berupaya menanamnya sebelum terjadinya kiamat maka tanamlah benih tersebut.” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab alMufrad)
Penulis pendakwah dan penulis buku