MANA BUKTI?
Hafifi bingung, dia dijatuhi hukuman
gantung empat tahun tanpa bela diri
Atlet angkat berat, Hafifi Mansor menafikan yang dia digantung empat tahun oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) kerana menggunakan bahan terlarang.
Pemenang pingat emas temasya Komanwel Glasgow 2014 itu berkata, hingga setakat ini keputusan mengenai hukumannya masih belum diputuskan malah laman web rasmi IWF juga tidak tertera sebarang tindakan yang dijatuhkan kepadanya.
Hafifi ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan laporan media yang memaklumkan dia digantung adalah tidak benar sama sekali.
“Saya sudah menghubungi PABM (Persatuan Angkat Berat Malaysia) untuk meminta penjelasan dan bukti mengatakan saya digantung empat tahun,” kata Hafifi.
“PABM gagal menyerahkan bukti berkenaan malah seorang daripada jawatankuasa PABM memaklumkan surat penggantungan ada di dalam e-mel persatuan namun beliau terlupa kata laluan.
“Mana mungkin boleh terlupa kata laluan sedangkan dia bukan orang baru dalam PABM. Nampak seperti ada pembohongan di situ.”
Hafifi berdepan hukuman maksimum selama empat tahun selepas disahkan menggunakan bahan terlarang, oxymetholone, semasa Kejohanan Angkat Berat Terbuka Australia pada Mac
2017. Sampel B yang diuji terhadapnya juga didapati positif.
Sebelum ini berita yang disiarkan oleh stesen televisyen berbayar menerusi bekas Presiden PABM Datuk Ong Poh Eng, mengesahkan Hafifi digantung empat tahun bermula November lalu.
Namun Hafifi menjelaskan, sebelum sebarang hukuman dijatuhkan pihak persatuan seharusnya memanggilnya untuk membuat pembelaan.
Jawatankuasa pendengaran perlu ditubuhkan untuk menjalankan siasatan dan hingga kini masih lagi menunggu tindakan daripada PABM.
“Saya mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin dan jangan biar ia tergantung seperti ini. Saya masih mahu mewakili negara dan kudrat saya masih mampu untuk berbakti kepada Malaysia,” katanya.