PEREBUTAN HANGAT
Lima muka baru dijangka cabar kerusi ‘panas’ Presiden, Timbalan dan Naib Presiden PSM
Pemilihan jawatan Presiden, Timbalan dan Naib Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dijangka ‘panas’ apabila antara tiga hingga lima individu termasuk muka baru dan kurang dikenali dicalonkan untuk merebut kerusi sempena Mesyuarat Agung Tahunannya (AGM), pada 24 Jun ini.
Setiausaha Agung PSM, Datuk Mohd Radzuan Abdullah, mengesahkan bahawa Datuk Ahmad Ismail yang dicalonkan semula bakal dicabar dua individu lain.
Ahmad akan dicabar Datuk Akramuddin Abdul Aziz (Timbalan Presiden PSM semasa) dan Datuk Markiman Kobiran (Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor).
Mohd Radzuan berkata, pertandingan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden juga bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Akramuddin, Datuk Abdul Jalil Ariffin (Bendahari PSM) dan Syed Araniri Syed Ahmad Al Edroos.
Bagi jawatan Naib Presiden bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Syed Husain Syed Abu Bakar Al Edroos (Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Kedah), Datuk Datuk Awang Sham Amit(Presiden Persatuan Sepaktakraw Sabah), Datuk Mohd Sumali Reduan (Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan), Datuk Abdul Halim Suleiman (Presiden Persatuan Sepaktakraw Johor) dan Abdul Razak Rahman (Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil).
“Bagaimanapun, senarai individu yang bakal merebut jawatan tertinggi ini belum muktamad kerana mereka perlu mengisi borang pengesahan penerimaan pencalonan yang akan dihantar mulai esok dan perlu diserahkan semula ke ibu pejabat sebelum jam 5 petang, pada 20 Jun ini.
“Selepas itu baru kita boleh tahu siapa akan dicabar oleh siapa biarpun contohnya secara kasar jawatan Presiden
PSM sekarang akan ditandingi Datuk
Seri Ahmad,
Datuk Markiman dan
Datuk Akramuddin,” katanya ketika dihubung, semalam.
Bagaimanapun, Mohd Radzuan berkata semua individu yang dicalonkan berhak menolak pencalonan bagi merebut mana-mana jawatan sekiranya mereka tidak berminat berbuat demikian nanti. Sebelum ini, media melaporkan, Pejabat Pesuruhjaya Sukan
(PPS) membenarkan PSM menangguhkan mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk sukan sepak takraw itu sehingga 30 Jun ini.