TANDING PRESIDEN
Ketua Pemuda PPBM beri pendapat cara terbaik
Khairy corak kembali masa depan UMNO
“Tanding jawatan Presiden UMNO atau jangan bertanding langsung,” kata Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada rakan sejawatannya, Khairy Jamaluddin.
Kenyataan itu antara nasihat Ahli Parlimen Muar kepada Khairy sebagai mengambil tanggungjawab atas kegagalan menarik sokongan anak muda untuk mengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Syed Saddiq menegaskan tindakan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti akhir bulan ini cara terbaik untuk Khairy mencorakkan kembali masa depan UMNO, sekali gus menjadikan parti itu sebagai pembangkang yang kuat.
“Nasihat saya ialah KJ (Khairy) kena bertanding jawatan presiden atau (jika tidak) jangan bertanding langsung seperti Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Ketua Puteri UMNO).
“Ia sebagai mengambil tanggungjawab penuh kepada kekalahan BN yang gagal meraih pengundi muda atau untuk menghantar mesej jelas bahawa beliau boleh mendapatkan semula sokongan pengundi termasuk anak muda, sekali gus mampu mencorakkan masa depan UMNO,” katanya dalam temu bual bersama NSTP di Ibu Pejabat PPBM, di sini, semalam.
Awal bulan ini Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau mengesahkan beliau akan bertanding merebut jawatan naib presiden yang ketika ini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan Khairy adalah calon terbaik untuk menerajui parti itu berikutan keadaan UMNO kini yang dilihat kucar-kacir sehingga tidak dapat menentukan hala tuju perjuangan parti.
Bagaimanapun Khairy dalam reaksinya enggan mengambil serius pandangan Perdana Menteri itu dan menyifatkan ia sebagai satu sindiran.