Kajian terperinci akan dilakukan
Miri: Satu kajian terperinci akan dilakukan bagi memberikan lebih keselesaan kepada pesakit mendapatkan rawatan dan masalah parkir di Klinik Kesihatan Miri.
Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Seng berkata, pihaknya sudah turun padang dan meninjau masalah serta mengambil perhatian setiap rungutan pesakit.
Menurutnya, kajian menyeluruh akan dilakukan secepat mungkin bagi menyelesaikan sebarang masalah termasuk kekurangan peralatan rawatan.
“Masalah ini akan diajukan kepada kerajaan pusat. Kami juga akan membuat permohonan bagi menambah peralatan agar mencukupi, selepas ini.
“Sebagai pengamal perubatan saya juga tahu mengenai peralatan dan kemudahan patut disediakan di sesebuah klinik. Berikutan itu saya harap permohonan dibuat kelak diluluskan dengan segera,” katanya.
Dr Michael berkata, ke kurangan peralatan adalah masalah serius dan perlu diberikan perhatian oleh semua pihak termasuk kerajaan negeri dan pusat.
Mengulas perkara tersebut, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Jamilah Hashim dalam kenyataannya sebelum ini mengakui, klinik yang dibina pada 1973 itu hanya menampung 300 hingga 500 pesakit saja setiap hari.
“Sebaliknya pada masa ini, kedatangan pesakit meningkat sehingga mencecah 1,000 orang sehari, manakala beban di Kaunter Farmasi mencecah sehingga 1,500 orang sehari,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai usaha naik taraf sudah dilakukan pihak pengurusan klinik untuk memberikan lebih keselesaan kepada pesakit.
Menurutnya, antara yang sudah dilaksanakan adalah menambah bilangan pegawai bertugas dan waktu rawatan juga dilanjutkan sehingga melewati waktu pejabat iaitu dari 6 petang hingga 10 malam.