Jiwa kental Abang Mel
“Saya semakin pulih. Namun, untuk pulih sepenuhnya agak susah kerana ia pasti meninggalkan kesan kekal. Saya kini sukar untuk bertutur dan jika bercakap laju, pasti akan ‘terbabas’,” kata penyanyi Mel mengenai keadaan kesihatannya selepas diserang angin ahmar pada awal Disember 2014.
Mel, 52, yang juga bekas penyanyi Wings berkata, jika bertutur dia sukar untuk menyebut perkataan yang mengandungi huruf R, L dan S.
“Saya kini sentiasa berurut dan melakukan senaman untuk menjaga kesihatan. Paling penting pemakanan perlu dijaga betul-betul,” kata pemilik nama sebenar Ismail Zainuddin ini.
Mel berkata, kesihatannya kini sudah pulih 95 peratus dan dia kini turut bergantung kepada ubat-ubatan bagi memastikan kesihatannya stabil.
“Saya tidak dibenarkan makan sayuran hijau kerana saya menghidap Atrial Fibrillation atau lebih dikenali sebagai AF.
“Degupan jantung saya tidak normal atau dikenali sebagai aritmia dan terpaksa mengambil sejenis ubat khas.
“Harganya agak mahal, tetapi mujurlah saya dapat dengan harga yang agak sederhana. Apapun pengambilan ubat sahaja tidak bermakna jika tidur tidak tentu masa, tidak menjaga pemakanan dan kurang bersenam,” katanya.
Walaupun mengalami sedikit masalah pertuturan, tetapi Mel masih aktif sebagai
Bekas vokalis Wings pilih cara hidup sihat selepas kena strok
penyanyi dan masih mendapat tawaran mengadakan persembahan di sana sini.
“Selain menyanyi, saya lebih banyak dipanggil terbabit dalam program tazkirah, persembahan santai dan motivasi.
“Saya juga diundang untuk berkongsi pengalaman bercerita berkenaan penyakit angin ahmar yang dideritai sebelum ini dan cara-cara pemulihannya.
“Maknanya adalah juga sumber rezeki. Saya kena yakin dengan Allah biarpun jumlahnya tidak banyak seperti dulu,” katanya.
Mel juga baru selesai menghasilkan album yang diterbitkan bersama rakan-rakan artis lain antaranya Iwan Syahman, Ali XPDC, Ijam Medicine, Zul Handy Black, Zul Yahya dan Syed Nahar.
“Album berjudul Daie ini memuatkan nyanyian kami semua. Alhamdulillah sambutan yang diberikan peminat sangat menggalakkan.
“Lagipun cara penjualannya dibuat secara terus kepada peminat setiap kali kami buat persembahan. Nampaknya ia lebih disukai berbanding dijual di kedai,” katanya.