Nilai murni dalam kehidupan
Umat Islam usah pentingkan diri, bersikap baik sesama insan
Beberapa hari lagi seluruh umat Islam akan menyambut kedatangan 1 Syawal. Masing-masing pastinya teruja membuat persiapan menyambut kedatangannya.
Walau bagaimanapun, keterujaan itu diharap tidak mengurangkan usaha untuk memanfaatkan baki hari-hari terakhir Ramadan dengan amal ibadat bagi merebut ganjaran lailatulqadar.
Sepanjang Ramadan ini, kita dididik supaya menunaikan solat secara berjemaah dengan pensyariatan solat sunat Tarawih. Pahala dan fadilat menunaikan solat fardu dan sunat secara berjemaah amat besar berbanding solat secara bersendirian.
Banyak amal ibadat lain dalam bulan Ramadan turut dituntut untuk dilaksanakan secara berjemaah. Amalan yang dilakukan secara berjemaah mencerminkan indahnya kesatuan umat Islam.
Ia menzahirkan kesatuan umat Islam. Sekiranya dapat dipraktikkan dalam urusan seharian yang lain, pastinya umat Islam sentiasa kuat tanpa sebarang bantahan, rusuhan atau pertelingkahan.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal, ayat ke-46, yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.”
Menjelang Aidilfitri ini juga pastinya orang ramai menggunakan jalan raya ‘secara berjemaah’.
Sekiranya setiap pengguna jalan raya hanya mengutamakan diri sendiri, tentunya akan timbul pelbagai masalah yang akhirnya turut membabitkan diri sendiri.
Oleh itu, beberapa perkara membabitkan nilai murni yang terdapat dalam pelaksanaan solat secara berjemaah boleh dipraktikkan ketika kita di jalan raya.
Hakikatnya, kedua-kedua keadaan itu membabitkan urusan kita dengan orang lain. Contohnya, ketika solat berjemaah, kedudukan kita dengan orang yang berada di hadapan dan belakang adalah satu jarak yang selamat.
Cuba bayangkan sekiranya jarak tidak diberi perhatian, pastinya pergerakan dalam solat akan terganggu. Begitu juga ketika di jalan raya.
Jarak antara kenderaan kita dengan kenderaan orang lain di hadapan, di belakang dan di sebelah perlulah pada jarak selamat yang tidak memungkinkan berlakunya pergeseran.
Keselesaan jemaah lain ketika berada dalam saf solat berjemaah antara perkara yang perlu diambil perhatian. Kita tidak dibenarkan melakukan perkara yang boleh mengganggu tumpuan jemaah lain.
Contohnya, bau mulut yang tidak menyenangkan antara perkara yang mengganggu keselesaan jemaah. Rasulullah SAW menganjurkan kita bersugi atau membersihkan gigi sebelum menunaikan solat.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku, nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Di jalan raya kita tidak boleh melakukan perkara yang boleh mengganggu keselesaan pengguna lain. Ada juga dalam kalangan pengguna membuang sampah keluar daripada kenderaan dengan sengaja.
Perkara itu sangat mendukacitakan kerana ada kalanya sampah yang dibuang terkena atau melekat pada kenderaan orang lain di belakang.
Begitu juga dengan penggunaan lampu tinggi tanpa keperluan pada waktu malam. Ia mengganggu penglihatan kenderaan yang berada dari arah bertentangan.
Perkara itu menggambarkan sikap mementingkan diri sendiri dan tidak menghiraukan keadaan orang lain yang turut berada di jalan raya.
Jika diperhatikan secara umum, ketika menunaikan solat, banyak bacaan adalah daripada untaian doa kebaikan. Kita bukan saja mendoakan kesejahteraan untuk diri sendiri, malah mendoakan kesejahteraan orang lain.
Dalam bacaan tahiyat, kita mendoakan kesejahteraan dan kebaikan golongan hamba Allah SWT yang soleh.
Kita dianjurkan membaca doa sebelum memulakan perjalanan. Mengapa kita tidak mendoakan kebaikan dan kesejahteraan orang lain?
Kesejahteraan mereka juga mempengaruhi kesejahteraan dan keselamatan kita yang turut berada di jalan raya berkenaan. Ada kalanya kecuaian orang lain mengakibatkan kita turut sama terbabit dalam kemalangan.
Begitulah indahnya Islam menitikberatkan soal kebersamaan dalam melakukan perkara baik. Islam menolak sifat keakuan, sebaliknya mementingkan amalan dalam jemaah supaya sama-sama dapat manfaat.
Semangat jemaah itulah perlu diterjemahkan ketika berada di jalan raya menuju ke kampung halaman bagi menyambut lebaran .
Penulis pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu