Mahasiswa agih bubur lambuk
Berada jauh di perantauan bukan halangan untuk sekumpulan komuniti penduduk dan pelajar Malaysia di Korea Selatan melakukan aktiviti memasak serta mengagihkan bubur lambuk.
Malah, aktiviti yang sinonim ketika Ramadan itu diteruskan menerusi penganjuran program Khidmat Masyarakat Ramadan AlMubarak Seoul, Korea, barubaru ini.
Ketua program,
Sri Rahayu Baderi,
35, berkata, lapan sukarelawan terbabit dalam aktiviti memasak, membungkus dan pengagihan bubur lambuk di tiga lokasi bermula di Itaewon, Universiti Dongyang Mirae dan sekitar Seoul.
Katanya, objektif program untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan rakyat Malaysia di Korea
Selatan, sekali gus memberi peluang kepada mereka menikmati hidangan bubur lambuk ketika berbuka puasa.
“Pengagihan bubur lambuk salah satu aktiviti yang menjadi kemestian di Malaysia ketika Ramadan dan itu sebabnya kita cuba anjurkan program ini .
“Sekurangkurangnya, kerinduan penduduk dan pelajar Malaysia untuk menikmati bubur lambuk terubat walaupun tidak dapat berpuasa di tanah air.
“Untuk program ini, sebanyak 450 bungkusan bubur lambuk diagihkan secara berperingkat dan kerja pengagihan menjadi lebih mudah dengan bantuan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Afrizal Zokri, 26, berkata, dia tertarik untuk turut serta sebagai sukarelawan program berkenaan kerana mahu merebut peluang untuk berhimpun dengan pelajar dan komuniti Malaysia yang lain.
Katanya, bukan mudah untuk berkumpul kerana sebelum ini, masingmasing sibuk dengan urusan kerja dan jadual kuliah yang padat.
“Saya seronok kerana dapat mengambil bahagian daripada proses penyediaan, pembungkusan hingga pengagihan bubur lambuk.
“Pengalaman ini sangat berharga kerana hanya dapat dilakukan setahun sekali iaitu ketika Ramadan.
“Meskipun aktiviti ini hanya membabitkan komuniti Malaysia, masyarakat di Korea Selatan juga menyambut baik malah mereka memuji kerjasama kami.
“Ada antaranya yang turut sama menawarkan bantuan,” katanya yang juga penuntut Grafik Multimedia di Universiti Dongyang Mirae.