Kelentong Tuan Sauzi
Sindiket menyamar polis konon dari JSJ IPK Perak perdaya warga emas RM50,000
Satu sindiket menyamar polis konon dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dikesan memperdaya mangsa menerusi panggilan telefon.
Terbaru, seorang suri rumah warga emas berusia 61 tahun kerugian RM50,000 selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki menyamar pegawai polis IPK Perak.
Sumber berkata, dalam kejadian pada 15 Mei lalu, mangsa dikenali sebagai Mee menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Tuan Sauzi dan mendakwa pembabitannya dalam kegiatan jual beli dadah serta penipuan wang.
Katanya, pegawai berkenaan mendakwa sudah menangkap seorang lelaki yang memaklumkan menggunakan akaun perbankan mangsa bagi urusan jual beli dadah serta penipuan.
“Suspek kemudian menakutkan mangsa berulang kali dengan mengugut akan menangkapnya kerana terbabit kegiatan jenayah itu dan mangsa boleh dikenakan hukuman gantung.
“Mangsa yang ketakutan memaklumkan tidak terbabit kegiatan jenayah seperti didakwa dan suspek kemudian menawarkan pertolongan bagi memindahkan wang miliknya ke satu akaun perbankan lain dengan alasan akaun milik mangsa ketika itu disiasat polis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa yang tidak mengesyaki ditipu dan ketakutan kemudian membuat transaksi pindahan wang sebanyak dua kali ke akaun diberikan suspek pada hari sama berikutan dimaklumkan yang wang itu akan diberikan semula kepadanya selepas siasatan selesai.
Katanya, transaksi pertama membabitkan jumlah RM45,000 manakala transaksi kedua membabitkan jumlah RM5,000.
“Selang sehari selepas itu, suspek kemudian menghubungi mangsa sekali lagi dan memaklumkan untuk membuat bayaran tambahan ke akaun lain, sekali gus menyebabkan mangsa mula mengesyaki ditipu seterusnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari, ketika dihubungi di sini, semalam, mengesahkan menerima aduan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.