Hikmah lawan musibah
> Mereka pernah diberi bayangan peluang untuk pulih amat tipis dan jangka hayat pula diramal tidak panjang disebabkan cedera parah dalam kemalangan dan menghidap penyakit kritikal. Namun, ibarat mendapat ‘nyawa kedua’ mereka ini cekal berjuang melawan musibah menimpa dengan hati reda di samping meneruskan rawatan yang disarankan membolehkan mereka terus bernafas
hingga hari ini, lapor Mahaizura Abd Malik
3 individu cekal hadapi hidup selepas diberi harapan tipis
Mereka pernah diberi bayangan peluang untuk pulih tipis dan jangka hayat hanya mampu bertahan untuk tempoh tertentu disebabkan parah dalam kecelakaan dan menghidap penyakit kritikal.
Namun, kecekalan mereka berjuang melawan musibah menimpa dengan hati reda dan meneruskan rawatan disarankan membolehkan hayat mereka masih panjang sampai saat ini ibarat mendapat ‘nyawa kedua’.
Bagi Arif Anuar Rosli, 23, dia rasa bertuah diberi kesempatan kedua untuk hidup selepas terbabit kemalangan jalan raya empat tahun lalu.
“Macam bermimpi dapat hidup semula sedangkan doktor kata harapan saya amat tipis kerana kecederaan serius pada paru-paru, kepala, pinggang dan kaki.
“Saya koma selama 12 hari dan terlantar di atas katil selama setahun. Segala keperluan makan minum, mandi dan buang air diuruskan ibu dan adik-beradik,” katanya.
Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, kesan daripada kemalangan itu dia mengalami kegagapan apabila bertutur, cepat lupa dan kerap kebas badan.
“Dulu saya menjadi pemain ragbi di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail. Saya pernah mewakili Kuala Lumpur untuk Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), tetapi apa boleh buat hendak berlari pun saya tak boleh sekarang.
“Sekarang saya hanya menyara diri berniaga burger berhampiran rumah.
“Saya tidak pernah menyesal, hikmahnya saya berubah menjadi orang yang lebih baik, mendengar cakap orang tua dan menjaga solat,” katanya.
Bagi Siti Alfatihah Abdullah, 31, pula biarpun hidup dengan rawatan kemoterapi kerana menghidap barah payudara tahap empat, dia tetap bersyukur masih bernyawa sampai sekarang.
“Orang kata, kalau kena kanser ini jangka hayatnya tidak panjang, bila tahu macam itu kita rasa biarlah kalau sudah kena kanser dan ditakdirkan mati biarlah mati macam ini, tapi bila Allah hadirkan saya seorang bayi saya bersemangat untuk meneruskan hidup.
“Dua tahun lalu, keadaan saya teruk dan kalah dengan kesan sampingan rawatan kemoterapi, tapi saya perjuangkan demi anak dalam kandungan waktu itu.
“Harapan saya untuk melihat anak lahir itu memang tak ada sampaikan doktor pun tak beri harapan tapi bila hari ini saya dapat melihat anak membesar depan mata, boleh dukung, rasa seolah-olah diberi peluang kedua untuk hidup,” katanya.
Menurutnya, setiap bulan dia akan berulang-alik dari Lanchang, Pahang ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani rawatan kemoterapi dan berjumpa pakar selepas barah yang dihidapinya merebak ke paru-paru.
“Selepas payudara sebelah kanan dibuang pada Februari 2017, sudah kurang rasa sakit, tapi berita yang saya terima lagi menyakitkan apabila kanser sudah merebak ke paru-paru sebab itu saya sambung lagi rawatan kemoterapi untuk tiga pusingan lagi tahun ini.
“Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya lebih baik hari ini dan saya dapat memanfaatkan peluang ini dengan berniaga atas talian membuat rekaan kain rentang untuk tampung perbelanjaan sebab rawatan ini banyak guna wang.
“Saya juga ada berkongsi pengalaman melawan penyakit ini dalam sebuah buku berjudul Projek Lavender yang menghimpunkan 22 kisah pejuang kanser dalam usaha mendidik masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Nor’ Asiken Lajis@Aziz, 54, berkata, kehidupan masa lampaunya sangat getir selepas disahkan menghidap kegagalan buah pinggang sejak usianya 18 tahun sebelum berubah seperti orang normal selepas menjalani pemindahan buah pinggang sebanyak dua kali.
“Dulu, keluar masuk hospital dan badan saya ditebuk sana sini itu perkara biasa. Sampai satu tahap saya rasa putus asa dan tak mahu teruskan rawatan sebab sakit.
“Namun, dengan sokongan orang sekeliling termasuk keluarga, pakar, jururawat dan kawan-kawan saya dapat meneruskan rawatan yang sukar serta menyakitkan itu dengan jayanya untuk membolehkan saya terus hidup.
“Kini, ke mana saja saya pergi, saya sentiasa membawa ‘ayah’ bersama kerana satu buah pinggangnya ada dalam badan saya. Saya juga berterima kasih kepada keluarga insan mulia hatinya yang saya tidak kenali kerana dengan izinnya saya dapat teruskan hidup dengan lebih bahagia bersama keluarga,” katanya.
Katanya, dia kini bebas daripada menjalani rawatan dialisis dan memanfaatkan peluang kedua ini dengan aktif mendidik masyarakat menjalani gaya hidup sihat menerusi Green Ribbon Support Association (GRSA). “Selain dengan GRSA, saya bergerak sendirian dalam mendidik masyarakat di sekitar kawasan perumahan supaya mereka tidak mengalami masalah buah pinggang.
“Saya juga berkongsi pengalaman dengan pesakit lain supaya mereka tidak kemurungan dan dapat melawan penyakit ini dengan melalui rawatan disarankan doktor,” katanya.