DUIT RAYA BUKAN KEMESTIAN
Ibu bapa perlu terap rasa keinsafan dalam diri anak bahawa hari raya bukan hari kumpul duit
DARI MUKA H51
Mereka seolah-olah terpaksa membelanjakan wang yang sepatutnya boleh digunakan untuk kegunaan lain yang lebih penting semata-mata mahu memberi duit raya kerana malu dikata orang.
Bajet untuk duit raya tidak pernah kecil jumlahnya. Saban tahun, biasanya jumlahnya semakin meningkat dan paling tidak RM100 perlu dikeluarkan untuk 'ole-ole' Aidilfitri ini. Itupun jika memberi duit raya RM1 seorang kepada tetamu kecil. Jika lebih, jumlahnya akan berganda. Itu belum lagi untuk anak saudaramara terdekat. Mana mungkin memberikan jumlah sama dengan kanak-kanak lain yang tiada kaitan persaudaraan.
Mungkin mereka mahu memberi juga kerana mengikut amalan orang lain. Kalau boleh mereka tidak mahu malu pada tetamu yang datang berhari raya sedangkan selepas raya, ada yang bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Hariyati Ariffin, pemberian duit raya asalnya dari budaya Cina namun sejak kita mengasimilasikan budaya kedua-duanya dalam masyarakat, ia kini menjadi satu kemestian pada hari raya.
Dalam keadaan ekonomi yang kurang kukuh dan mencabar, beliau berpendapat budaya ini lebih elok dihentikan secara perlahan-lahan namun diganti dengan barangan makanan dan cenderahati seperti majlis perkahwinan.
"Sebenarnya anak sekarang amat berbeza berbanding zaman dulu. Ada segelintir yang diberi duit raya RM2 pun merungut dan tidak kurang juga yang mengatakan tuan rumah kedekut.
"Jadi untuk tidak mengajar mereka bersikap materialistik dan menghargai setiap sen dan ringgit, mungkin ada baiknya kita hentikan budaya duit raya. Mungkin tuan rumah sudah mula boleh menerangkan pada kanak-kanak yang hadir bahawa sekarang duit raya sudah ditukar pada makanan seperti buah atau gula-gula.
"Memang bukan mudah hendak hentikan budaya ini secara drastik, ia perlu dibuat secara lebih berhemah dan dalam situasi menang menang dengan