Tebus kecewa
Senegal kembali dengan misi buru kejuaraan
Piala Dunia 2002 pastinya kenangan paling diingati peminat Senegal selepas menyaksikan pasukan kesayangan mereka yang membuat penampilan pertama di pentas berprestij itu, mara sehingga ke suku akhir bertemu Turki.
Namun ketika itu, Senegal sepatutnya berpeluang untuk melangkah lebih jauh sehingga ke separuh akhir, tetapi jaringan lewat permainan Ilhan Mansiz meranapkan terus impian mereka.
Insan paling kecewa ketika itu sudah semestinya kapten mereka, Aliou Cisse.
Selepas itu, Senegal menyepi di Piala Dunia dan hanya bakal tampil semula ke pentas berprestij itu pada tahun ini di Russia.
Kali ini Cisse berpeluang menebus kekecewaan 16 tahun lalu apabila bertindak selaku ketua jurulatih kepada legasi Senegal yang baru.
Beliau bukan keseorangan, sebaliknya di bantu bekas rakan sepasukannya yang kini menjadi sebahagian staf kejurulatihan.
Senegal tidak tewas pada kempen kelayakan dengan Cisse berjaya membimbing pasukannya sukar untuk ditewaskan, sesuatu yang sukar dilakukan pasukan dari Afrika Selatan yang seringkali dilabel tidak konsisten.
Senegal diperkuatkan dengan beberapa pemain beraksi di Liga Perdana Inggeris yang bakal diketuai bintang Liverpool, Sadio Mane.
Harapan tinggi diletakkan ke atas pemain sayap
Liverpool itu yang mempunyai skil tinggi serta penyudah tajam.
Meskipun hanya bakal mem-
buat penampilan kedua di Piala Dunia, Senegal dilihat mempunyai peluang cerah untuk mara lebih jauh.
Ia berdasarkan kepada undian Kumpulan H yang menyaksikan persaingan terbuka antara mereka, Poland, Jepun dan Colombia.
Cisse bagaimanapun yakin Senegal mempunyai ramai pemain berbakat yang mampu membawa pasukan mara lebih jauh.
“Mereka ini adalah generasi hebat. Apa yang kami perlukan adalah mengubah pemikiran mereka,”
katanya.
Mane muncul antara pemain paling mahal dari benua Afrika. Dia berhijrah ke Liverpool pada 2016 dengan nilai perpindahan £34 juta (RM181 juta)
Kekuatan, kepantasan dan kemahiran tinggi menjadikannya aset paling bernilai untuk Senegal.
Di sebalik hambar pada awal musim, dia dilihat mempamer aksi lebih baik dan menjadi watak penting pasukan terutama ketika saingan Liga Juara-Juara yang menyaksikannya meledak hatrik ketika bertemu Porto.
Mane bukan saja dianggap bintang untuk Senegal, malah lebih daripada itu.