Kementerian Pendidikan beku kenaikan dan pertukaran pegawai PPD seluruh negara
Putrajaya: Berkuat kuasa serta-merta, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membekukan semua pertukaran dalaman di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara.
Selain itu, pegawai tertinggi kementerian diarah menyemak semula semua kenaikan pangkat dan pertukaran di peringkat JPN dan PPD yang berlaku dalam masa dua bulan lalu.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya menerima banyak maklumat dan pandangan mengenai percaturan yang mempunyai unsur politik kepartian di peringkat negeri dan daerah melalui JPN dan PPD.
Beliau berkata, pelantikan dan penempatan dalam kalangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di JPN dan PPD dilaporkan tidak mengikut tatacara berdasarkan merit prestasi mereka.
“Terdapat unsur menempatkan pegawai yang masih setia dengan rejim lama di beberapa jawatan strategik di PPD dan JPN.
“Kita dapati aduan dan rungutan daripada guru dan pihak terbabit yang mengatakan mereka merancang untuk menguasai jawatan tertentu dan itu membahayakan agenda pendidikan yang ingin kita bawa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Maszlee berkata, setakat ini, beliau dimaklumkan unsur politik kepartian di JPN dan PPD itu giat berlaku di tiga negeri di utara dan pantai timur.
“Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang anasir yang mahu membawa unsur tidak sihat dalam pentadbiran pendidikan negara terutama mereka yang sengaja mahu menyukarkan reformasi sistem pentadbiran negara selaras dengan dasar Pakatan Harapan,” katanya.