Meluncur rempuh anak
Dua jet ski bertembung ragut nyawa budak lelaki sembilan tahun
Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas jet ski dinaikinya bersama penyelamat pantai bertembung dengan sebuah lagi jet ski dipandu ibunya di Pantai Batu Ferringghi di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.30 petang, Jordan Phang Wen Jie, 9, yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor maut akibat kecederaan serius pada tulang belakang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, mangsa dan keluarganya mendaftar masuk ke hotel di Batu Ferringghi tengah hari kelmarin untuk bercuti.
“Selepas itu, keluarga mangsa menyewa dua jet ski yang terletak di belakang hotel tempat
mereka menginap untuk beriadah.
“Ibu mangsa, Looi Ting Ching memandu jet ski pertama berseorangan dan jet ski kedua dipandu seorang penyelamat pantai bersama mangsa. Semua mereka memakai jaket keselamatan,” katanya.
Bagaimanapun, Anuar berkata, jet ski yang dipandu penyelamat pantai itu tiba-tiba hilang kawalan akibat
angin kuat hingga menyebabkan ia meluncur laju melanggar dan bergesel dengan jet ski dipandu ibu mangsa.
Katanya, akibat perlanggaran itu mangsa terjatuh ke dalam air dan sempat diberi bantuan kecemasan resusitasi kardio-pulmonari (CPR) selepas diselamatkan.
“Bagaimanapun, pasukan paramedik yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
“Ibu mangsa dan penyelamat pantai terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan serta mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
“Akibat perlanggaran itu mangsa terjatuh ke dalam air dan sempat diberi bantuan kecemasan resusitasi kardio-pulmonari
(CPR) selepas diselamatkan”
Anuar Omar