Satu parti mewakili semua kaum bukan mustahil Nafi pecat Bernard
Cadangan mewujudkan satu parti berbilang kaum dan agama di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dianggap idea di luar kotak dan tindakan ‘radikal’ dalam konteks berpolitik berasaskan kaum di negeri itu.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Mohd Fadzil Abd Rahman berkata, cadangan itu diyakini bukan dibuat secara membuta tuli dan didorong persepsi semata-mata sebaliknya bersandarkan semangat serta toleransi.
“Bukan mustahil bagi GPS menjadi entiti parti berbilang kaum kerana tiada siapa mampu menyangkal dan mempersoalkan keunikan Sarawak yang mencerminkan semangat perpaduan, hormat menghormati dan toleransi tinggi.
“Dengan kelebihan itu, bukanlah sukar dan mustahil bagi GPS memikirkan kewajaran mewujudkan satu parti merentasi kaum mewakili parti tempatan,” katanya kepada NSTP di sini, semalam.
Kelmarin, Presiden
Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang juga Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing mencadangkan GPS bergerak sebagai satu parti berbilang kaum.
Bagaimanapun, cadangan itu dibantah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Cadangan Masing membubarkan PBB, PRS, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) dikemukakan pada Mesyuarat Barisan Nasional (BN) Sarawak pada 12 Jun lalu.
Bagaimanapun, idea itu ditolak ‘sementara’ kerana Ketua Menteri yang juga Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg belum memberi maklum balas.
Mohd Fadzil ketika mengulas lanjut berkata, penolakan pengundi Cina kepada SUPP dan ketidakstabilan PRS antara faktor perlu dipertimbangkan untuk mewajarkan penubuhan satu parti berbilang kaum itu menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang.
Kerajaan negeri menafikan khabar angin yang mendakwa Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Bernard Dalinting dipecat.
Khabar angin itu timbul susulan tindakan Bernard mengatur upacara angkat sumpah 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada Selasa lalu sehari selepas semua wakil rakyat berkenaan memboikot persidangan khas DUN Sabah pada 11 Jun.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri akan mengendalikan perkara itu secara baik dan mempertimbangkan tindakan yang wajar terhadap Bernard.
“Adalah penting untuk memastikan disiplin dalam pentadbiran negeri. Dalam apa saja yang mereka lakukan, kerajaan mesti tahu dan dimaklumkan.
“Setiausaha Kerajaan Negeri (Tan Sri Sukarti Wakiman) akan meneliti prosedur dan saya yakin dia tahu cara untuk mendisiplinkan kakitangan awam,” katanya kepada media ketika ditemui di Rumah Terbuka Hari Raya Kabinet Negeri di sini, semalam.
Kelmarin, portal berita Sabahkini2.com melaporkan Bernard dipecat kerana mengatur sesi angkat sumpah 19 wakil rakyat di hadapan Speaker DUN Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali pada 12 Jun tanpa pengetahuan Ketua Menteri.
Shafie berkata, kerajaan akan melihat sama ada perlu memecat Bernard dan akan membuat perubahan untuk memastikan penjawat awam memahami peranan mereka.
Katanya, majlis angkat sumpah 19 ADUN itu tidak dilakukan dengan betul dan mengikut undang-undang serta tidak diketahui oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.
“Angkat sumpah sudah diisytiharkan pada 11 Jun dan TYT (Tuan Yang Terutama) Tun Juhar akan merasmikan mesyuarat DUN pada 2 Julai.
“Mereka boleh angkat sumpah (pada 2 Julai) dan bukan dengan mudah melakukannya di hadapan Speaker. Ia perlu diketahui dan dimaklumkan,” katanya.
Sembilan belas ADUN di bawah pimpinan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman daripada BN membabitkan parti komponen UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Parti Solidariti Tanah Airku, mengangkat sumpah pada sesi itu.
Shafie timbang tindakan sewajarnya terhadap Setiausaha DUN