SilkAir naik taraf produk kabin
SilkAir, syarikat penerbangan serantau di bawah Singapore Airlines (SIA) bakal melaksanakan program pelaburan penting untuk menaik taraf produk kabinnya yang mana ia adalah sebahagian insentif ke arah penggabungan bersama syarikat penerbangan nasional Singapura itu.
Program berkenaan membabitkan pelaburan bernilai lebih daripada S$100 juta (RM295 juta) bagi menaik taraf kabin pesawat anak syarikat milik penuhnya di Kelas Perniagaan serta pemasangan sistem hiburan di Kelas Perniagaan dan Ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong berkata, perkara itu adalah untuk memastikan servis dan produk yang lebih konsisten merentasi rangkaian perkhidmatan penuh oleh Kumpulan SIA.
Beliau berkata, naik taraf kabin pesawat dijangka bermula pada 2020 berikutan tempoh masa yang diperlukan oleh pembekal tempat duduk, termasuklah untuk menyelesaikan proses pensijilan penting.
“Singapore Airlines kini melepas satu tahun dari tiga tahun program transformasi yang dijalankan dan pelaburan yang diumumkan ini adalah pembangunan yang signifikan kepada Kumpulan untuk meneroka lebih peluang dan bersedia untuk masa depan yang lebih baik.
“Ini juga adalah contoh lain terhadap pelaburan penting yang dilaksanakan bagi memastikan produk dan servis kami adalah ke hadapan dalam penerbangan jarak dekat, sederhana dan panjang.
“Apa yang penting, ia dijangka mendapat maklum balas yang positif daripada pelanggan,” katanya dalam kenyataan.