Hairan sekolah masih guna generator

Harian Metro - - Setempat -

Kuching: “Bekalan elektrik 24 jam sudah ada, mengapa sekolah masih menggunakan generator dengan bahan api diesel untuk mendapatkan tenaga elektrik?”

Itu persoalan dilontarkan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin yang terkejut selepas mendapati Sekolah Kebangsaan (SK) Kambug masih menggunakan generator walaupun lokasi sekolah berkenaan hanya 70 kilometer dari bandar raya Kuching dan rumah penduduk di sekitar sekolah berkenaan sudah lama menikmati bekalan elektrik 24 jam.

Willie menyifatkan penggunaan generator untuk sekolah berdekatan bandar utama itu sebagai tidak masuk akal kerana kaedah itu biasanya digunakan untuk membekalkan elektrik di sekolah pedalaman yang tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam.

“Tidak perlu menggunakan generator diesel untuk membekalkan elektrik ke sekolah ini, kerana bekalan elektrik 24 jam begitu dekat,” katanya.

Justeru, beliau berkata penggunaan generator di SK Kambug sebagai bukti jelas penyalahgunaan dana awam kerana kontraktor yang dilantik akan membekalkan 2,000 liter diesel sebulan dengan harga RM4.50 seliter.

“Ini bermakna kira-kira RM9,000 dibelanjakan setiap bulan untuk membayar diesel saja. Ini tidak termasuk caj penyelenggaraan dan pengendalian.

“Jumlah yang dibayar untuk tujuan itu sangat tinggi berbanding caj sambungan dan bil bulanan yang mungkin dibayar oleh sekolah sekiranya ia disambung dengan talian elektrik 24 jam,” katanya.

Sebagai langkah penyelesaian katanya, beliau akan menulis secara rasmi kepada Menteri Pelajaran untuk menghentikan kebocoran dana awam yang tidak perlu dan meminta peruntukan khas untuk menghubungkan sekolah itu dengan talian elektrik yang ada.

Katanya penyambungan bekalan elektrik termasuk pendawaian di sekolah berkenaan dianggarkan menelan kos kira-kira RM20,000 manakala bil elektrik mungkin kurang atau lebih daripada RM100 sebulan bergantung kepada penggunaan sekolah.

SK Kambug yang menawarkan kemudahan asrama, menampung murid-murid sekolah rendah dan prasekolah dari enam kampung iaitu Kampung Sapit, Kampung Kiding, Kampung Assum, Kampung Kakas, Kampung Kamas dan Kampung Parang.

WILLIE

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.